Ahad, 5 Ogos 2018 | 2:03pm
SYAFIQ bimbang terleka ketika nama mula dikenali. Foto: Khairul Azhar Ahmad
SYAFIQ bimbang terleka ketika nama mula dikenali. Foto: Khairul Azhar Ahmad

Syafiq tepis godaan peminat

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syafiq Farhain sering mengingatkan diri supaya tidak terleka ketika nama semakin dikenali kerana bimbang misi untuk mengecap kejayaan gagal di pertengahan jalan.

Syafiq, 24, mengakui, ketika permulaan namanya menjadi sebutan, tahun lalu, dia hampir hilang fokus kerana terkejut dengan perhatian luar biasa yang diberikan peminat.

Bertubuh sasa dan dikurniakan raut wajah tampan, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Sayang Maafkan Aku ini turut menerima pelbagai mesej peribadi di laman sosial, termasuk pesanan nakal yang berbaur godaan.

"Saya jadi bimbang jika terleka, saya akan hanyut kerana populariti mampu memusnahkan diri. Bayangkan, saya menerima pelbagai mesej peribadi, termasuk pesanan nakal. Kalau tidak bijak mengawal keadaan, saya boleh tenggelam.

"Selalu saya ingatkan diri, saya menjadi penyanyi untuk mencari rezeki. Jika mesej yang dihantar itu agak lain macam, saya akan abaikan. Tetapi, kalau keterlaluan, saya akan padam dan sekat pengikut itu," kata anak kepada penyanyi, Saleem itu.

Syafiq berkata, setiap hari dia menerima hampir 100 pesanan di laman sosial, namun gembira kerana kebanyakan mesej yang diterima berbentuk positif dan memberikan kata sokongan.

"Ramai yang memberikan semangat dan dorongan, terutama apabila mereka mendapat tahu saya turut bersaing di pentas Big Stage. Sokongan mereka itu membuatkan saya rasa dihargai.

"Jika diikutkan, siapalah saya yang masih baharu dan belum ada apa-apa pencapaian. Alhamdulillah, saya semakin selesa menyesuaikan diri sebagai anak seni.

"Dulu, saya agak malu berdepan orang ramai, tetapi selepas memenuhi pelbagai undangan persembahan, keyakinan diri mula datang.

"Saya tidak lagi kekok untuk berinteraksi dengan peminat, malah sudah mula memahami tanggungjawab sebagai penghibur," katanya.

Berita Harian X