Khamis, 9 Ogos 2018 | 8:49pm
ANAK Lan Solo, Muhammad Akid Qassyaff, menerima rawatan di Wad Kecemasan Pediatrik PPUM selepas terjatuh. - Foto Instagram Lan Solo

Anak Lan Solo jatuh, dahi koyak

KUALA LUMPUR: Anak penyanyi Lan Solo, Muhammad Akid Qassyaff, 4, dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami kecederaan pada bahagian dahi akibat terjatuh.

Menerusi perkongsian di Instagramnya, isteri penyanyi itu, Nur Sheila Hashim, memaklumkan insiden terbabit berlaku ketika dirinya menemani suami menjayakan temubual khas bersama sebuah stesen radio, semalam.

Katanya, sewaktu temubual sedang ke udara, dia menerima panggilan bertalu-talu daripada ibunya. Berasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena, dia tetap mengangkat panggilan berkenaan walaupun tidak sepatutnya berbuat demikian.

Sebaik saja dimaklumkan mengenai insiden terbabit, mereka terpaksa meninggalkan konti dan bergegas pulang.

“Sampai saja di rumah, memang dia (Akid) menangis. Jadi, kami terus membawanya ke PPUM," katanya.


PENYANYI, Lan Solo dan isteri, Nur Sheila Hashim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bagaimanapun, Sheila lega apabila diberitahu anaknya tidak mengalami kecederaan serius, sebaliknya dahi kanak-kanak itu cuma perlu digam.

Sementara itu, Lan menerusi Instagram miliknya meluahkan rasa syukur kerana Akid tidak perlu dijahit seperti pernah dilalui kanak-kanak terbabit, sebelum ini.

"Alhamdulillah, (luka) tidak terlalu serius. Tetapi sebagai ibu bapa, kerisauan tahap 'gaban' adalah lumrah! Tambahan pula inilah kali kedua dia koyak dahi, di tempat sama,” katanya sambil memberitahu, anaknya menerima tujuh jahitan dalam kejadian pertama.

Lan dan Sheila, 32, berkahwin pada 6 Disember 2009.

Selain Akid, pasangan ini dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Nur Amna Quxandra yang berusia enam bulan.

34 dibaca
Berita Harian X