Isnin, 13 Ogos 2018 | 8:59am
AMYLEA di Showcase Muzik Muzik 33 di IOI City Mall, Putrajaya. - Foto Salhani Ibrahim
AMYLEA di Showcase Muzik Muzik 33 di IOI City Mall, Putrajaya. - Foto Salhani Ibrahim
PENYANYI, Amylea (kiri) dan Kaer. - Foto Salhani Ibrahim
PENYANYI, Amylea (kiri) dan Kaer. - Foto Salhani Ibrahim

Lima lagu baharu untuk Nur 2

KUALA LUMPUR: Meledak dengan lagu Tak Pernah Hilang yang melatari drama rantaian popular, Nur, penyanyi dan komposer, Amylea Azizan mendapat kepercayaan mencipta dendangan baharu bagi projek sambungan drama berkenaan.

Berkongsi cerita, Amylea, 31, memberitahu, lima lagu baharu itu dicipta bersama komposer, Farouk Roman.

“Mengikut perancangan, saya dan Kaer akan menyanyikan lagu tema drama Nur 2. Selebihnya disampaikan penyanyi lain.

“Tapi saya tak boleh beritahu siapa mereka... Lebih manis jika penyanyi itu sendiri yang umumkan nanti,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Amylea dan Farouk bekerjasama menghasilkan lagu Tak Pernah Hilang. Lagu itu dicipta Farouk manakala lirik dihasilkan Amylea.

Drama Nur yang disiarkan TV3 sepanjang Ramadan lalu, mendapat sambutan hangat penonton yang suka plot cerita ditampilkan selain lakonan mantap Syafiq Kyle dan Amyra Rosli.

Ditanya mengenai tekanan menyiapkan lagu baharu untuk musim kedua drama itu, Amylea melihatnya daripada sudut positif selain menuntut dia menjadi lebih kreatif.

“Saya fikir lebih baik orang berharap sesuatu daripada saya daripada tidak berharap apa-apa. Saya anggap ia suatu semangat positif untuk saya menyiapkan lagu.

“Saya dan Kaer masing-masing tidak akan bersaing dengan mana-mana lagu mahupun penyanyi, kami hanya mahu melakukan yang terbaik,” katanya.

Memperincikan mengenai lagu yang bakal dirakam bersama Kaer, Amylea berkata:

“Apa yang boleh saya katakan, lagu untuk musim baharu Nur ini berbeza daripada lagu Tak Pernah Hilang. Namun, ia tidak lari daripada konsep drama itu sendiri,” katanya.

Tambah Amylea, lagu itu akan dirakam selepas dia dan Kaer menganjurkan showcase istimewa di Hard Rock Cafe di sini, pada 26 Ogos depan.

Mengenai persembahan itu, Amylea berkata:

“Sekarang kami memberi fokus berlatih dan merancang persembahan. Kami akan mengadakan tiga set iaitu masing-masing slot solo disusuli duet.

“Kami tak sabar bertemu peminat... Malah, ramai yang mahu mendengar kami menyanyikan Tak Pernah Hilang secara langsung,” katanya yang bersyukur jualan tiket untuk persembahan itu amat baik.

Amylea dan Kaer yang sebelum ini menjayakan Showcase Muzik Muzik 33 di sebuah pusat beli-belah, di sini, dijangka menyanyikan 16 lagu sepanjang persembahan itu.

Berita Harian X