Ahad, 19 Ogos 2018 | 5:45pm
PENYANYI Amylea Azizan dan Kaer Azami. - Foto Rosela Ismail
PENYANYI Amylea Azizan dan Kaer Azami. - Foto Rosela Ismail

'Macam tak percaya'

KUALA LUMPUR: Merekodkan lebih 6.2 juta tontonan di YouTube, penyanyi Amylea Azizan dan Kaer Azami tidak menduga single Tak Pernah Hilang mencapai kejayaan luar biasa.

Tambah menggembirakan dua sahabat ini, dendangan yang menjadi lagu tema drama rantaian Nur yang ditayangkan TV3, Ramadan lalu, ‘memanjat’ carta stesen radio, program Muzik Muzik 33, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan beberapa platform digital lain.

Amylea berkata, bagi dirinya, jika lagu itu mampu meraih 500,000 tontonan sekalipun sudah memadai.

“Macam tak percaya... Secara jujur, harapan kami sebenarnya kecil namun kejayaan besar datang menerpa. Sambutan terhadap lagu ini sangat luar biasa.

“Kami sangat realistik dan tak boleh terlalu yakin... Kami sama-sama menangis gembira dan termenung dengan apa yang diraih,” katanya kepada BH Online.

Lagu Tak Pernah Hilang dicipta Farouk Roman manakala lirik dihasilkan Amylea.

Tambah Amylea, dia dan Kaer menempuhi laluan berliku sejak mula menceburi dunia hiburan lebih 10 tahun lalu.

“Kejayaan lagu ini umpama hadiah istimewa buat kami di sebalik pergelutan yang dilalui,” katanya.

Kaer menganggap lagu duet bersama sahabat baiknya itu sebagai suatu magis besar dan rahmat terindah buat mereka.

“Lagu saya dulu, Izinku Pergi mengambil masa yang lama untuk meraih tontonan tinggi.

“Ketika itu, iaitu pada 2007, zaman media sosial belum berkembang... Ia berbeza dengan sekarang,” katanya.

Kaer berkata, drama Nur yang dibintangi Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah, Azhan Rani dan Fatimah Abu Bakar memberi nilai tambah kepada kejayaan single Tak Pernah Hilang.

Kaer teruja bekerjasama sekali lagi dengan Amylea untuk projek lagu runut bunyi musim kedua Nur yang bakal diarahkan Shahrulezad Mohameddin, tidak lama lagi.

Sementara itu mengulas mengenai persembahan sulung mereka, Amylea x Kaer Chapter Three Showcase di Hard Rock Cafe di ibu negara, pada 26 Ogos ini, Kaer berkata, mereka akan mendendangkan 16 lagu.

“Jika diikutkan, premis itu dapat mengisi 1,000 orang. Tapi kalau dapat kumpul 500 peminat pun sudah memadai. Ini kerana kami mahukan persembahan yang santai dan intim,” katanya.

Kaer dan Amylea menghadiri sesi santai dan sidang media Amylea X Kaer - Chapter Three Showcase di ibu negara, baru-baru ini bagi berkongsi persiapan persembahan mereka.

Berita Harian X