Rabu, 22 Ogos 2018 | 11:59am
PENYANYI, Andi Bernadee, tersingkir pada Konsert Big Stage minggu ketiga di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam. Foto: Faiz Anuar

Andi akur kurang popular

KUALA LUMPUR: Akur dengan tahap popularitinya, Andi Bernadee, 27, bagai sudah dapat mengagak perjalanannya dalam pertandingan, Big Stage, takkan bertahan lama.

Tersingkir pada konsert minggu ketiga, Ahad lalu, pemilik nama penuh Andi Azrul Andi Mapangile ini bagaimanapun tetap optimis untuk melakar kejayaan pada masa akan datang.

Menurut artis dari Kota Kinabalu, Sabah ini, pihak pengurusan sendiri sudah merancang penerbitan single terbarunya, hasil ciptaan bekas anggota Sleeq, Alif.

“Sebelum menerima tawaran menyertai pertandingan itu lagi, saya sedar ia juga diukur berdasarkan populariti. Saya akui diri ini tidak popular seperti peserta lain. Malah, saya dan Sissy Imann antara peserta yang tidak mempunyai pengaruh kuat peminat.

“Jadi, saya memang menjangkakan perjalanan saya dalam pertandingan itu tidak lama. Selama bersaing, saya selalu berdoa supaya tidak berada pada kedudukan tiga paling bawah. Namun, ia terjadi juga dan saya terima dengan hati terbuka.

“Cuma, ketika orang masih mengingati saya, kita akan gunakan peluang itu bagi mengeluarkan single baharu. Bimbang juga jika tiada produk seni dalam tempoh yang lama, diri ini mungkin akan dilupakan,” katanya yang sebelum ini mempertaruhkan single berjudul Semalam Sahur Di Mana pada Mei lalu.

Andi berkata, pengalaman dikutip pada pertandingan terbabit membantunya untuk bangkit bersama produk terkini.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, saya akan merakamkan lagu itu pada minggu depan. Ia sebuah karya berentak rancak dan mempunyai unsur muzik Latin,” katanya yang mula menarik perhatian peminat apabila menyanyikan semula lagu Tak Tun Tuang, dendangan asal Upiak Isil.

Andi juga yakin, lagu baharu nanti akan memberikan tuah buat dirinya dalam bidang muzik.

Pernah hadir dengan single berjudul Tiada Lagi Maaf pada awal kemunculannya, kira-kira setahun lalu, namun lagu berentak balada itu gagal menyerlahkan namanya.

“Jujurnya, saya bukan penyanyi balada yang bagus. Namun, ia tidak bermakna saya tak suka menyanyi lagu sebegitu. Cuma kalau boleh, saya nak elak daripada menyanyikan lagu dalam genre itu.

“Menyanyi lagu balada memerlukan kemahiran dan saya pula kekurangan skil itu. Ketika mula menyanyi di aplikasi Smule, baru saya belajar menyanyi lagu Melayu.

“Ketika zaman Smule bermula, saya sebenarnya lebih cenderung menyanyikan lagu dendangan penyanyi lelaki berkumpulan dari Barat. Saya gemarkan lagu bertenaga dan rancak, sekali gus mengajak kita menari,” katanya.

41 dibaca
Berita Harian X