Rabu, 22 Ogos 2018 | 6:00pm
Pelakon Drama Kelip Kelip Kota London, Nadiyah Shahab. - Foto Mohd asri saifuddin mamat

Nadiyah idam majlis kahwin sederhana

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadiyah Shahab, tidak mengharapkan majlis terlalu gah apabila menaiki pelamin bersama pilihan hatinya, Ben Ali, pada November depan.

Sebaliknya, artis jelita berasal dari Singapura itu lebih mengutamakan kehidupan selepas berumahtangga, dengan memberikan perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai isteri.

Bintang Misteri Maria dan Ben yang juga bekas pelakon akan melangsungkan pernikahan mereka pada 10 November di Singapura. Seminggu kemudian, mereka akan diraikan pula dalam sebuah majlis di ibu kota.

“Dulu, saya memang memasang pelbagai impian untuk majlis perkahwinan sendiri. Namun, sekarang saya lebih mengutamakan apa yang wajib saja.

“Saya sebaliknya lebih memikirkan perkara yang bakal dilalui selepas berkahwin. Saya juga teruja untuk membeli rumah, terutama kediaman yang mempunyai laman untuk kami menanam pokok. Jadi, saya perlu bekerja kuat untuk mencapai semua impian itu.


NADIYAH Shahab bersama tunangnya, Ben Ali. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Sekarang, saya memang tidak memikirkan sangat soal perbelanjaan kahwin, selain apa yang dirasakan perlu,” katanya yang berhasrat untuk mengajak keluarganya dari Kota Singa menetap di negara ini selepas mereka berkahwin nanti.

Sementara itu, Nadiyah, 27, menganggap Ben seperti teman karib yang banyak berjasa kepada dirinya.

“Dia menjadi antara insan paling penting dan banyak berjasa dalam hidup saya. Dia membantu membuka peluang untuk saya berlakon di Kuala Lumpur.

“Kami juga sudah seperti kawan karib. Banyak perkara yang kami boleh lakukan bersama-sama, begitu juga dengan hobi. Contohnya, saya taasub dengan semua perkara berkaitan Harry Potter, termasuk novelnya. Ben juga kini mula membaca buku terbabit.

“Menyedari saya menggemari siri Game Of Thrones, kini, sekarang dia turut menontonnya sekali. Saya bersyukur apabila mempunyai kawan yang bakal dijadikan teman sepanjang hayat. Insya-Allah,” katanya sambil memaklumkan dirinya tidak berasa terkongkong apabila kerjaya diuruskan bakal suami sendiri.

Pasangan ini bertunang pada 13 Januari lalu. Mereka berkenalan sejak dua tahun lalu dan mula akrab enam bulan selepas itu.

Nadiyah mula mengasah bakat lakonan di Malaysia sejak tahun lalu menerusi Encik Suami Mat Salih Celup, drama yang diterajui Daler Yusuf dan Nelydia Senrose.

Namanya semakin dikenali selepas memegang watak antagonis, Tengku Natasha, dalam drama Lafazkan Kalimah Cintamu.

1168 dibaca
Berita Harian X