Jumaat, 24 Ogos 2018 | 7:09am

Infiniti tema ABPBH 31

KUALA LUMPUR: Mengangkat tema Infiniti, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) kembali buat edisi yang ke-31 dengan proses undian artis pilihan secara online, bermula esok.

Sebagai perlambangan keutuhan BH dalam era revolusi digital, ABPBH 31 meraikan lebih tiga dekad penganjuran acara anugerah pilihan peminat dengan pengisian mantap.

Tema Infiniti yang secara istilah merujuk kepada jumlah tidak terhingga atau tanpa had, diserapkan dalam semua medium terutama media sosial dan platform digital utama.

Pengarang Eksekutif BH merangkap Penaung ABPBH 31, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, pemilihan tema Infiniti menepati rekod cemerlang dan sejarah BH sebagai pembekal kandungan utama pilihan pembaca sejak 61 tahun lalu.

“Infiniti merujuk kepada ruang tanpa sempadan bertepatan evolusi BH selaku akhbar yang sentiasa menambah baik dan menyediakan kandungan merentasi pelbagai platform sama ada bercetak mahupun digital termasuk menerusi laman web dan mobile serta media sosial.

“Diharap tema ini dapat diserapkan dalam semua aktiviti, promosi dan publisiti ABPBH 31 sekali gus membuka minda setiap daripada kita dalam mencari kecemerlangan tanpa batasan, baik dalam aspek berkarya, kerjaya atau komersial.

“Penggiat seni, artis mahu pun karyawan juga boleh mempraktikkan takrifan istilah infiniti dalam meningkatkan pencapaian, mutu produk dan perjuangan seni,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

ABPBH 31 turut mengumumkan penaja utama bagi acara berprestij ini iaitu Alha Alfa yang juga produk kosmetik tempatan keluaran Syarikat Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd.


BINTANG Paling Popular dan Pelakon TV Popular, Fattah Amin pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada tahun lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ahmad Zaini berkata, sesuai dengan kematangan ABPBH yang sudah melebihi tiga dekad penganjurannya, tema Infiniti juga diharap mampu mendekati kelompok peminat baharu yang juga pengguna digital utama negara.

“ABPBH terus utuh sebagai anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia. Rekod ini secara tidak langsung membuktikan hubungan erat antara artis, peminat dan media.

“Melihat kepada musim lalu, ABPBH 3.0 yang disiarkan secara langsung di TV3 mencatat jumlah tontonan tertinggi 5.5 juta sekali gus menunjukkan acara anugerah ini terus menjadi pilihan ramai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa ABPBH 31 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir, berkata ABPBH mahu sentiasa relevan termasuk dalam mengoptimumkan penggunaan platform digital sesuai dengan perkembangan.

“Proses undian yang dilakukan sepenuhnya melalui laman web www.abpbh.com.my serta perkongsian maklumat dengan kumpulan sasar menerusi laman sosial menjadi antara langkah drastik bagi memastikan capaian tinggi untuk penganjuran ABPBH kali ini,” katanya.

Shamshul Azree juga berkata, menjadi matlamat ABPBH dalam setiap penganjurannya untuk memastikan mesej bermanfaat disalurkan kepada khalayak untuk tema pilihan.

“ABPBH yang dinantikan selebriti dan peminat saban tahun sarat dengan pengisian tidak terkecuali mesej penting. Kali ini tema Infiniti menepati objektif BH untuk memastikan legasi acara anugerah ini terus terpelihara serta lebih gemilang setiap tahun,” katanya.

Turut diumumkan malam kemuncak ABPBH 31 yang akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober depan, jam 9 malam.

Undian artis pilihan boleh dibuat dengan melayari www.abpbh.com.my mulai esok hingga 25 September depan.

Lokasi rasmi acara kemuncak ditaja PICC manakala Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) adalah penyiar televisyen (TV) rasmi. Selain itu, Kool FM dan Hot FM menjadi stesen radio rasmi; Tonton (platform digital rasmi) serta Hijab & Heels (media digital rasmi).

Info
13 kategori utama

  • Artis Baharu Lelaki Popular
  • Artis Baharu Wanita Popular
  • Pelakon Filem Lelaki Popular
  • Pelakon Filem Wanita Popular
  • Pelakon TV Lelaki Popular
  • Pelakon TV Wanita Popular
  • Penyanyi Lelaki Popular
  • Penyanyi Wanita Popular
  • Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular
  • Artis Komedi Popular
  • Artis Versatil Popular
  • Pengacara TV Popular
  • Penyampai Radio Popular.

Kategori online

  • Artis Sensasi Popular
  • Pasangan Serasi Drama
  • Pasangan Serasi Filem
  • Instafamous Cilik Popular
  • Personaliti Media Sosial Popular
Berita Harian X