Selasa, 28 Ogos 2018 | 2:11pm
PENYANYI dan pelakon, Daiyan Trisha. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Saya tiada niat menipu - Daiyan Trisha

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Daiyan Trisha, 24, hairan apabila segelintir pihak menyamakan strategi memperkenalkan single baharunya dengan gimik dilakukan oleh Haqiem Rusli, sedangkan lagu Langit tidak menggunakan isu mental mahu pun memalukan sesiapa.

Katanya, dia tiada niat menipu orang ramai kerana pengikut di laman sosialnya sudah mengetahui perkongsian gambar dan bayangan mengenai alam perkahwinan hanyalah berkait rapat dengan kemunculan lagu baharu.

“Sampai sekarang pun ada yang masih bercakap (mengenai strategi digunakan itu). Saya sendiri tidak faham kenapa orang marah? Saya mempunyai alasan kukuh kerana sudah mula memuat naik bayangan mengenai lagu meraikan dua hati yang berkonsepkan perkahwinan sejak Julai lalu.

“Boleh dikatakan, memang kerap saya kongsikan gambar dalam Insta Story dan tidak ketinggalan madah penyatuan dua hati, sekali gus mereka yang mengikuti akaun saya faham sedari awal ia bertepatan konsep lagu.

“Kalau samakan saya dengan Haqiem, memang mereka (netizen) sangat salah. Saya seorang yang menentang segala perbuatan yang mengaitkan gangguan mental hingga pernah membangkitkan isu itu dalam lagu. Cara kami berbeza,” katanya.

Baru-baru ini, nama bintang filem Busker itu hangat selepas gambar dan kenyataan dikongsi di Instagram peribadinya seakan-akan menunjukkan dia bakal melangsungkan perkahwinan pada tarikh 19 Ogos.

Malah, perbualan dengan seorang penyampai di sebuah saluran radio yang menghubunginya pada hari berkenaan turut mencetuskan kekeliruan selepas Daiyan mengesahkan perkara terbabit.

Walaupun sudah meminta maaf tidak lama kemudian menerusi media dan memaklumkan ia hanya gurauan dengan DJ berkenaan, ramai menuduh artis wanita terbabit sebagai penipu dan menyamakannya dengan penyanyi muda yang terkenal dengan lagu Tergantung Sepi.

Sementara itu, Langit berjaya mengungguli carta iTunes, seminggu lalu, selain video muzik untuk lagu berkenaan pula ditonton lebih 133,000 kali sejak dikongsi di YouTube pada 20 Ogos lalu.

Berita Harian X