Selasa, 28 Ogos 2018 | 3:26pm

Hantu Kak Limah cipta rekod kutipan sukar ditandingi

FILEM Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid mencatat sejarah dan rekod tersendiri dalam industri perfileman tempatan apabila dilaporkan mencatatkan kutipan lebih RM32.5 juta sejak mula ditayangkan 9 Ogos lalu sehingga kini.

Walaupun belum ada laporan rasmi berhubung kutipan daripada mana-mana pihak seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) atau pihak pemamer (panggung wayang), tetapi angka lebih RM30 juta itu sudah menjadi viral dalam media sosial.

Kutipan filem Hantu Kak Limah terbitan bersama Astro Shaw dan Infinitus Gold itu menjadi satu penanda aras yang sangat tinggi dan amat sukar untuk disaingi oleh mana-mana penerbit filem tempatan selepas ini.

Kutipan tertinggi sebelum ini adalah menerusi filem Abang Long Fadil 2 terbitan Skop Production yang ditayangkan pada tahun 2017 dengan menghasilkan pungutan RM18.15 juta.

“Sebenarnya saya sangat terharu dan terkejut dengan reaksi luar jangkaan dan sambutan penonton dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang sehingga dapat mencatat kutipan sebanyak ini.


GAYATRI Su-Lin Pillai. - Foto NSTP

“Semestinya saya dan pihak Infinitus Gold, Astro Shaw dan Mamat sendiri rasa amat gembira yang filem Malaysia boleh mengatasi RM20 juta, sekaligus menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih menyokong karya tempatan,” kata penerbit filem Hantu Kak Limah, Gayatri Su-Lin Pillai dari Infinitus Gold.

Beliau berkata, kemungkinan faktor yang membantu kutipan tinggi adalah Hantu Kak Limah sebagai filem untuk seisi keluarga dan pihaknya dapat maklum balas bahawa ramai ibu, bapa dan kanak-kanak suka dan terhibur menonton filem ini.

Katanya, ramai yang menonton Hantu Kak Limah berulang kali, malahan komedi dalam filem itu sangat universal bahasanya sehinggakan dapat diterima ramai termasuk, Singapura dan Brunei.


MAMAT Khalid. - Foto NSTP

“Saya sendiri sangat suka filem berlatar kampung dan saya rasa penonton akan memberi sokongan kepada cerita yang dekat dengan hati mereka.

“Malah, mungkin penonton sudah kenal dengan “universe” Kampung Pisang dan ini menyebabkan mereka memberi reaksi positif kepada filem ini.

“Lebih menarik Hantu Kak Limah adalah penonton dari bandar kecil kepada bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Ipoh,” katanya.

Gayatri tidak menafikan nama Mamat Khalid itu sendiri turut memberikan kesan dan pengaruh besar terhadap filem ini kerana Mamat adalah seorang pengarah yang sudah ada peminat serta pengikutnya tersendiri.

Katanya, walaupun Hantu Kak Limah sebuah cerita komedi yang boleh disifatkans sebagai hiburan ringan, tetapi pembikinannya tidaklah semudah disangka.

“Kepada saya genre komedi adalah salah satu genre yang sangat susah untuk digarapkan.

“Pada saya, selain beliau (Mamat) sangat berpengalaman dari segi pengarahan, Mamat juga adalah seorang yang terkenal dengan karya yang memenuhi cita rasa dari pelbagai aspek yang pada dasarnya ada hiburan ringan, tetapi pada asasnya ada parodi dan satira yg ada subteks yang boleh dikupas,” katanya.

Berita Harian X