Jumaat, 31 Ogos 2018 | 9:52am
LIZA Hanim ketika hadir pada sidang media Konsert MPO di Hotel Traders. - Foto Syazana Rose Razman

'Tunggu 21 tahun nyanyi dengan MPO'

KUALA LUMPUR: Penyanyi Liza Hanim, 38, mengaku menunggu 21 tahun untuk merealisasikan impian membuat persembahan dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Liza berkata, Konsert Semalam Di Malaya menjadi acara istimewa yang bakal terpahat dalam ingatannya.

Apatah lagi, akui Liza, dia diundang berkongsi pentas dengan tiga insan seni hebat iaitu Aishah, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio.

“Saya tidak menyangka luahan kepada rakan seperjuangan, Aishah ketika kami bekerjasama dalam sebuah konsert sebelum ini menjadi nyata.

“Apabila dihubungi pengurusan MPO awal tahun ini, rasa teruja dan gementar bersilih ganti. Ini kerana impian yang saya damba sejak dua dekad bergelar penyanyi, akhirnya termakbul.

“Namun, saya tidak ralat lambat meraih peluang ini disebabkan sudah lama berehat sejak 2009 dan hanya aktif tahun lalu. Apabila sudah rezeki kita, masanya tetap tiba,” katanya kepada BH Online.


LIZA Hanim ketika hadir pada sidang media Konsert MPO di Hotel Traders. - Foto Syazana Rose Razman

Penyanyi Getaran Cinta di Jiwa ini memberitahu, peluang membuat persembahan dengan iringan orkestra adalah impian dan pencapaian besar buat penyanyi.

“Ia bagai suatu sejarah dalam portfolio kami,” katanya.

Penyanyi yang baru tampil dengan single berjudul Mimpi itu memberitahu, dia sudah membuat persiapan rapi bagi dua siri Konsert Semalam Di Malaya yang diadakan sempena Hari Malaysia iaitu pada 15 dan 16 September depan.

“Jika diikutkan, rasa teruja dan gemuruh bersilih ganti kerana belum pernah menyanyi diiringi orkestra. Apatah lagi bakal beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang menjadi gelanggang ramai pemuzik hebat.

“Walaupun ada antara lagu pernah saya sampaikan, banyak perbezaan daripada susunan muzik dan sebagainya yang perlu diperhalusi lagi,” katanya.

Liza turut berkongsi rasa terharu apabila menjadi pilihan MPO yang membuka peluang kepada anak seni sepertinya beraksi di pentas gah itu.


LIZA Hanim (kiri) Aishah, Rachel Guerzo dan Ahmad Muriz Che Ros ketika hadir pada sidang media Konsert MPO di Hotel Traders. - Foto Syazana Rose Razman

“Persembahan ini bukan sekadar hiburan kerana daripada segi konsep konsert ini sendiri, pilihan seleksi dendangan juga menjurus kepada lagu malar segar yang tak lapuk ditelan zaman.

“Kami harap persembahan ini dapat menyuburkan lagi semangat cintakan negara, menghargai dendangan klasik sekali gus mengajak semua generasi datang menyaksikannya,” katanya.

Liza dijangka mempersembahkan beberapa lagu seperti Semalam di Malaya, Sayang di Sayang dan Jelingan Manja pada siri konsert itu.

Kelmarin, Liza menghadiri sidang media mengumumkan butiran Konsert Semalam Di Malaya, di sini.

Berita Harian X