Jumaat, 31 Ogos 2018 | 2:30pm
AZIZ akan menyambung pengajian dalam jurusan Ekonomi Perniagaan, pertengahan bulan depan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
AZIZ akan menyambung pengajian dalam jurusan Ekonomi Perniagaan, pertengahan bulan depan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Aziz Harun tunai janji

KUALA LUMPUR: Hampir setahun memberikan fokus kepada kerjaya seni, penyanyi kelahiran Brunei Darussalam, Aziz Harun menunaikan janji terhadap ibu dan bapanya apabila kembali meneruskan pengajian.

Aziz, 20, yang popular dengan lagu Senyum berkata, dia akan menyambung semula pelajarannya pada pertengahan bulan depan di sebuah kolej swasta di ibu kota.

“Saya sudah berjanji dengan ibu dan bapa supaya memberikan saya setahun untuk memberikan fokus kepada kerjaya seni. Saya mahu memantapkan dulu nama dalam bidang seni kerana ini minat saya.

“Apabila kembali belajar, saya akan letakkan pelajaran pada tangga pertama dan aktiviti seni hanya dipenuhi apabila hujung minggu,” katanya.

Memilih jurusan Ekonomi Perniagaan, Aziz berkata, dia akan belajar di ibu kota selama setahun, seterusnya menyambung pengajian di Cardiff, United Kingdom (UK).

“Saya akan ke UK selama dua tahun, namun saya tidak risau kerana saya masih masa untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian. Selagi ada peluang, saya akan terus menghasilkan lagu baharu untuk mendekati peminat.

“Saya juga merancang untuk mencari pengalaman merakamkan lagu apabila menetap di UK nanti. Mengenai pasaran, rasanya tiada halangan kerana saya boleh berkongsi pelbagai maklumat terkini menerusi laman sosial,” kata anak didik Faizal Tahir itu.

Menyentuh kerjaya nyanyiannya, Aziz baru melancarkan single terbaru, Hana yang dihasilkan Mike Chan, Romeo dan Faizal. Memilih genre muzik yang sedikit berbeza, Aziz berbangga apabila lagu itu dijadikan sebagai runut bunyi drama, Alamatnya Cinta lakonan Hannah Delisha.

“Sebelum ini, saya banyak menyanyikan lagu pop balada, tetapi untuk Hana, saya cenderung ke arah pop rock. Mungkin juga kebetulan, watak utama dalam drama itu juga menggunakan nama Hana. Saya berharap lagu ini akan mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aziz bakal terbabit dengan siri jelajah, Jimba Fest Tour bersama syarikat rakaman Warner Music untuk lebih mendekati peminat, terutama penuntut pusat pengajian tinggi.

Menerusi siri jelajah yang bermula 16 September ini, Aziz bersama Awi Rafael, Andi Bernadee, Kaka Azraff, Wan Shahjuddin, Nora Ariffin, Datin Alyah, Altimet dan Aizat Amdan akan membuat persembahan di enam lokasi memperkenalkan lagu terbaru mereka.

“Tahun lalu, saya berpeluang menyertai edisi pertama siri jelajah ini dan ia memberikan pengalaman yang cukup menyeronokkan. Disebabkan itu, apabila kembali dipelawa untuk menyertainya, saya tidak menolak.

“Lagipun, siri jelajah ini diadakan pada hujung minggu, jadi tidak mengganggu jadual pengajian saya,” katanya mengenai program yang akan memulakan kembaranya di Mesa Mall, Nilai, Negeri Sembilan.

Berita Harian X