Isnin, 3 September 2018 | 12:05pm
AISHAH masih yakin album fizikal punya tempat istimewa di hati peminat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Aishah tak kisah dilabel 'old school'

KUALA LUMPUR: Penyanyi berpengalaman, Aishah masih menaruh keyakinan terhadap penjualan album fizikal ketika peminat muzik lebih terarah menikmati hiburan secara digital.

Katanya, walaupun tidak mampu kembali ke era jualan mencecah ratusan ribu unit seperti dulu, ramai pendengar tegar masih berminat mendapatkan album fizikal sebagai koleksi.

“Saya percaya di luar sana masih ramai yang lebih puas apabila dapat memiliki sesebuah album, terutama penyanyi. Secara peribadi, album fizikal mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

“Saya pasti, ramai penyanyi di luar sana turut berkongsi pandangan yang sama, namun terpaksa tunduk kepada aliran muzik semasa yang sudah berubah.

“Barangkali saya terlalu ‘old school’ atau kurang mengikuti perkembangan dari sudut ini. Walaupun lagu saya turut dijual secara digital, saya tetap berharap ia dapat diterbitkan dalam bentuk album fizikal.

“Peminat di laman sosial setia menunggu album fizikal saya diterbitkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Semalam Di Malaya, baru-baru ini.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 53, antara penyanyi yang mencatat jualan album tertinggi sejak muncul dengan produksi pertama yang mengangkat namanya sebagai judul pada 1990. Album itu turut diedarkan di Indonesia, Singapura dan Brunei.

Terbaru, juara Gegar Vaganza musim keempat yang dianggap sebagai penyanyi yang memiliki vokal emas itu bakal tampil bersama single terbaru garapan Hazami, Malar.

Sementara itu, mengenai konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 15 dan 16 September ini, Aishah bakal beraksi di samping Musly Ramlee, Liza Hanim dan Rachel Guerzo Trio.

Katanya, pengalaman pertama mengadakan persembahan di lokasi berprestij itu pada 2009 membuatkan dia teruja apabila diundang kembali selepas hampir sedekad.

“Sebelum ini, saya pernah menjayakan Konsert Irama Warisan diiringi MPO. Tentu sahaja pengalaman itu meninggalkan kenangan manis.

“Pilihan lagu kali ini lebih terarah kepada sentuhan malar segar yang menjadi siulan dan masih indah didengar, apatah lagi jika persembahan diiringi pemuzik MPO,” katanya yang bakal membawakan lagu, Setangkai Kembang Melati.

Tiket berharga antara RM141 dan RM358 untuk konsert yang dijadualkan berlangsung selama dua jam di Dewan Filharmonik Petronas itu sudah mula dijual.

Berita Harian X