Khamis, 6 September 2018 | 7:21pm
NABIL lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerja di balik tabir. - Foto Aziah Azmee
NABIL lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerja di balik tabir. - Foto Aziah Azmee

'Cukuplah 10 tahun berlakon'

KUALA LUMPUR: Sedekad mengukuhkan nama, pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad mengakui, sudah tiba masa untuk dia berundur daripada dunia lakonan serta menumpukan perhatian kepada tugasan di balik tabir.

Katanya, pendirian mengehadkan kemunculannya di televisyen, kecuali dalam bidang pengacaraan diputuskan kerana dia lebih puas menyajikan penonton dengan naskhah terbitan sendiri.

“Saya masih mahu berada di set penggambaran, tetapi bukan sebagai pelakon, sebaliknya menjadi penerbit dengan menghasilkan drama dan filem.

“Kepuasan melihat orang lain melontarkan dialog, menggarap idea yang diterjemahkan menerusi skrip dan lakon layar sukar digambarkan.

“Lagipun, sepanjang 10 tahun ini, saya belum mencapai apa-apa kejayaan sebagai pelakon, berbanding kerjaya seni lain. Rasanya lebih baik saya hasilkan skrip dan menerbitkan produksi sendiri.” katanya yang baru mengetengahkan telefilem, The Hantus.

Pemilik bersama syarikat produksi, KMN Production itu berkata, kejayaan The Hantus mengutip lebih RM1 juta ketika disiarkan menerusi Astro First menyuntik semangatnya menghasilkan lebih banyak naskhah bermesej.

“Saya bertuah kerana dua rakan kongsi, Khairil dan Muzamil mempercayai karya yang saya ketengahkan. Saya bangga dengan hasil The Hantoos.

“Mungkin penerimaan orang berbeza, tetapi sebagai produk pertama, maklum balas yang diberikan penonton itu sangat luar biasa,” katanya.

Nabil bagaimanapun berkata, dia masih memenuhi tawaran muncul di skrin televisyen sebagai hos dan pelawak.

“Saya mahu menjadi seperti Mamat Khalid yang dikenali bersandarkan idea kreatif dan karya yang melekat di hati semua kelompok masyarakat.

“Bukan tidak sayang dengan lakonan, namun cukup sampai setakat ini kerana jiwa saya lebih kepada kerja belakang tabir,” katanya yang bakal tampil bersama telefilem, Datuk Setan.

Sementara itu, Nabil yang pernah menggenggam gelaran Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2008 turut meluahkan perasaan terharu apabila kembali dicalonkan pada musim ini.

Namanya berada dalam senarai awal ABPBH31 untuk kategori Pengacara TV Popular dan Artis Versatil Popular yang bakal diumumkan pada malam kemuncak 7 Oktober depan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X