Khamis, 13 September 2018 | 9:07pm
LINDA bersama barisan penyampai yang menghangatkan Hot FM dan Kool FM. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Jihan, Linda mantapkan Hot FM, Kool FM

PETALING JAYA: Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) mengukuhkan segmen dan pengisian dua stesen utamanya, Hot FM serta Kool FM dengan kemasukan pengacara popular, Jihan Muse dan penyampai berpengalaman, Linda Onn.

Pengurus Kumpulan RRMP, Anida Mohd Tahrim, berkata Jihan memeriahkan Hot FM menerusi segmen sketsa Geng Pagi Hot bersama Ajak, Fizie dan Shuk bermula 17 September ini, manakala Linda mengendalikan Petang Kool di Kool FM sejak 20 Ogos lalu.

Katanya, pemilihan dua personaliti penyiaran itu dilakukan selepas penelitian bersama pengurusan radio yang yakin dengan kemampuan mereka untuk menarik lebih ramai pendengar.

“Pelbagai faktor diperincikan sebelum pihak pengurusan melakukan pemilihan dalam memperkukuhkan lagi barisan peneraju hadapan Hot FM dan Kool FM.

“Jihan contohnya, mendapat maklum balas yang positif ketika kemunculan pengenalan selama sejam dalam sketsa Story Mory Jihan, pagi tadi, malah kami dapat melihat keserasiannya bersama tiga penyampai sedia ada.

“Berdasarkan komen, ramai yang suka dengan gandingan terbaru itu. Sebelum ini, memang beberapa nama selebriti disenarai panjang dan selepas tapisan, kami melihat kemampuan Jihan mewarnai segmen baharu itu,” katanya.

Sementara itu, kata Anida, penampilan Linda yang mengisi slot petang turut meraih reaksi positif pendengar berdasarkan maklum balas menerusi media sosial.

“Sebenarnya dari segi segmen dan slot, banyak lagi pembaharuan yang ditampilkan sejajar visi kami mencakupi muzik, hiburan serta pengisian gaya hidup semasa.

“Pengenalan wajah baharu dan segmen istimewa diharap terus melengkapkan barisan sedia ada yang menjadikan Hot FM serta Kool FM sentiasa menjadi pilihan utama pendengar,” katanya.

Berita Harian X