Khamis, 20 September 2018 | 5:11pm
RIZ jadikan lakonan sebagai medium untuk menyalurkan dakwah. - Foto Aziah Azmee

Riz Ismail gusar dihanyut glamor

KUALA LUMPUR: Bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Pencetus Ummah musim keempat, Riz Ismail yang mula meraih perhatian sebagai pelakon, berdoa supaya ditetapkan hati dan tidak dihanyutkan arus glamor.

Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang dikenali menerusi drama Dosanya Perempuan dan Air Mata di Bumi Matador berkata, pembabitannya dalam bidang seni bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya mahu menyalur mesej positif menerusi lakonan.

“Saya selalu berdoa kepada Allah supaya ditetapkan hati dan tidak mudah hanyut apabila kehadiran mula diterima. Ketika ditawarkan peluang berlakon, saya sudah berniat melakukannya bukan untuk mengejar nama, sebaliknya ingin mendidik masyarakat.

“Saya juga memastikan babak yang dijayakan tidak melanggar batasan syariah. Saya tidak akan menerima jika membabitkan adegan bersentuhan. Alhamdulillah, ketika ini, kebanyakan watak yang diterima bersesuaian dengan diri dan personaliti.

“Sebagai pendakwah muda, saya mempunyai peranan dan cara tersendiri dalam mendekati masyarakat. Bakat saya juga dicungkil menerusi program televisyen, jadi tiada salahnya saya berkongsi ilmu di lokasi penggambaran,” katanya.

Riz yang turut dicalonkan dalam senarai awal Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 berkata, kru produksi banyak merujuk kepadanya sekiranya mereka berdepan kegusaran ketika di lokasi penggambaran.

Mengulas mengenai pencalonannya itu, Riz berkata, dia tidak meletak harapan untuk meraih kemenangan, apatah lagi berkempen bagi memastikan namanya membolosi Top 5.

“Alhamdulillah, saya sama sekali tidak pernah bermimpi untuk berada dalam senarai calon awal ABPBH. Saya juga tidak pernah tahu sebenarnya mempunyai kelompok peminat tersendiri.

“Saya lihat pencalonan ini memberi petanda positif usaha untuk berkongsi ilmu mula menampakkan hasil kerana peminat semakin menyedari kehadiran saya,” katanya.

Berita Harian X