Ahad, 30 September 2018 | 12:04pm
AISY Mateen menerima enam jahitan selepas terjatuh, baru-baru ini. - Foto Instagram Yana Samsudin

Luruh jantung saya dibuatnya - Yana Samsudin

Oleh Feride Hikmet Atak

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pengalaman anak sulung, Aisy Mateen, menerima enam jahitan pada bahagian kening gara-gara terhantuk pada meja kaca membuatkan pelakon, Yana Samsudin, trauma dengan kejadian itu.

Yana yang dihubungi BH Online berkata, walaupun sudah beberapa hari berlalu, sebagai ibu, dia masih dihantui perasaan bersalah, namun akur kejadian yang berlaku adalah aturan takdir.

"Saya rasa bersalah sangat dengan Mateen, walaupun suami berulang kali menenangkan, malah mengingatkan apa yang berlaku itu bukan disengajakan.

"Seperti orang selalu katakan, kalau sudah hendak jadi, ia akan tetap berlaku. Ketika kejadian, kami pulang seketika ke kampung saya untuk berjumpa keluarga di Yong Peng, Johor. Apabila sudah di kampung, saya ajak anak saudara datang berkumpul.


AISY Mateen menerima enam jahitan selepas terjatuh, baru-baru ini. - Foto Instagram Yana Samsudin

"Kebetulan di ruang tamu terdapat dua meja kaca. Hati saya terdetik, kalau budak-budak berlari pasti ada yang akan terhantuk pada meja itu dan ia perlu dialihkan.

"Ketika saya dan kakak mahu mengalihkan meja kedua, Mateen pula sedang berlari. Dia terjatuh dan kepalanya terhantuk pada meja yang kami sedang alihkan. Melihat darah mengalir dengan banyak pada keningnya, saya terus membawanya ke klinik," katanya menceritakan detik cemas terbabit.

Menurut Yana, hatinya sayu apabila melihat anak sulung berusia dua tahun itu menjerit kesakitan ketika doktor melakukan rawatan.

Yana yang juga dikenali sebagai pengacara bagaimanapun, bersyukur anaknya tidak mengalami kecederaan serius lain gara-gara insiden itu. Katanya, sudah tentu dia risau jika kejadian itu memberikan impak pada bahagian lain, terutama otak anak kesayangannya itu.

"Selepas dijahit, Mateen kembali ceria seperti biasa. Alhamdulillah, tiada kesan sampingan lain terutama pada bahagian otak. Sebagai ibu, luruh jantung saya dibuatnya mengingatkan situasi itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Yana turut berkongsi foto dan video ketika Mateen mendapatkan rawatan doktor di laman sosialnya.

Yana dan Fadzil Zahari, 34, berkahwin pada 2015 dan dikurniakan anak sulung pada 21 Julai 2016.

Berita Harian X