Khamis, 4 Oktober 2018 | 12:36pm
ANDI teruja mencuba bakat sebagai pelakon. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Telefilem seram buat Andi hilang suara

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular dengan lagu saduran, Andi Bernadee mengakui, pengalaman pertama berlakon dalam telefilem seram, Korban Penunggu Hospital begitu mengujinya hingga dia hampir kehilangan suara.

Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile yang popular menerusi rakaman semula lagu, Tak Tun Tuang dan Semalam Sahur Di Mana berkata, dia teruja kerana telefilem arahan Eyra Rahman menemukannya dengan pelbagai cabaran baharu.

“Bayangkan tanpa pengalaman di lokasi penggambaran, saya diberi kepercayaan untuk membawa watak berat. Banyak perkara baharu yang saya belajar dan ia memberikan cabaran kerana saya perlu pantas memahami tuntutan watak.

“Gara-gara berlakon dalam telefilem itu juga, suara saya hilang hingga sukar menyanyi ketika diundang menyerikan persembahan pada konsert akhir, Big Stage, baru-baru ini.

“Lapan hari menjalani penggambaran, saya seronok mendapat kawan baharu, malah pelakon yang terbabit juga banyak membantu saya menghayati karakter,” katanya.

Telefilem terbitan MS Digital Studio Sdn Bhd itu turut menampilkan Fauziah Latiff, Aprena Manrose, Jaa Suzuran, Kodi Rasheed dan Fatin Afeefa. Ia bakal ditayangkan pada 20 Oktober ini.

Bercerita mengenai aktiviti nyanyian, Andi berkata, dia kini bergantung harap kepada single keduanya, Satu Peluang yang akan dilancarkan menerusi platform digital terpilih, esok.

Andi menyifatkan lagu ciptaan bekas anggota Sleeq, Alif sebagai penentu kesinambungan kerjaya nyanyiannya.

Penyanyi dari Kota Kinabalu, Sabah itu sebelum ini, pernah mempertaruhkan single, Tiada Lagi Maaf, namun percubaan itu gagal menyerlahkan namanya.

“Satu Peluang dirakamkan seminggu selepas saya tersingkir dari Big Stage. Kami berbincang mengenai konsep single ini dan sepakat memilih genre reggaeton kerana ia dekat dengan karakter saya.

“Konsep itu juga dilihat mampu menyerlahkan karakter suara saya. Ketika rakaman, keadaan kesihatan saya tidak memuaskan kerana mengalami masalah suara.

“Alhamdulillah, proses rakaman lagu itu dapat diselesaikan juga dan saya berharap ia diterima ramai,” katanya.

141 dibaca
Berita Harian X