Khamis, 4 Oktober 2018 | 2:41pm
PELAKON, Sharnaaz Ahmad, ketika majlis pelancaran drama Hero pada Ogos 2016. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Saya pernah bekerja, bergurau dengan mereka - Sharnaaz Ahmad

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharnaaz Ahmad, meluahkan rasa sedih dengan tragedi mengorbankan enam anggota bomba dalam operasi mencari remaja yang tergelincir di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, malam tadi.

Katanya, semua anggota terbabit pernah melatih dirinya dan pelakon lain ketika mereka menjayakan drama bersiri berkaitan pasukan bomba, Hero, dua tahun lalu.

“Saya pernah bekerja, bergelak ketawa dan bergurau dengan mereka. Mereka adalah yang terbaik dalam Pasukan Penyelam Di Air (PPDA). Mereka adalah unit elit khas. Kehilangan yang sangat dirasai seluruh unit Bomba Malaysia dan juga saya.

“Mereka sangat mahir dan terlatih dalam misi menyelamat. Banyak kes mereka bersabung nyawa, tetapi kali ini mereka dijemput oleh Allah ketika bertugas.

“Saya sangat terkesan dengan kehilangan ini. Mereka gugur syahid ketika melakukan kebaikan. Semoga Allah luaskan kubur mereka dan jadikan kematian ini syahid yang paling indah,” katanya menerusi Instagram.

Dalam kejadian yang mengorbankan enam anggota bomba itu, keenam-enam mangsa dipercayai lemas dalam operasi berkenaan akibat terbelit tali di bahagian dasar dasar lombong.

Mereka yang terkorban ialah Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33; Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25; dan Mohd Fatah Hashim, 34.

Terdahulu, Sharnaaz, 33, memaklumkan bekerjasama dengan semua anggota yang bertugas dalam pasukan unit elit khas atau PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam pada 2016.

Tambah pelakon yang membawakan watak anggota bomba bernama Khalid itu, mereka dianggap sebagai enam hero sebenar negara yang penuh berjasa.

Selain Sharnaaz, berita sedih itu turut dikongsi beberapa artis lain termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rosyam Nor, Amy Search, Fauziah Ahmad Daud, Syafiq Farhain, Erra Fazira, Hisyam Hamid, Haiza, Ajak, Scha Alyahya, Hazami dan ramai lagi.

35 dibaca
Berita Harian X