Ahad, 7 Oktober 2018 | 7:07pm
(DARI kiri) Fattah Amin, Neelofa, Khai Bahar dan Syafiq Kyle.

Siapa bakal julang trofi Bintang Paling Popular?

KUALA LUMPUR: Tinggal beberapa jam sebelum acara kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 berlangsung dan ketika ini, antara persoalan yang hangat menjadi teka-teki, siapa bakal menjulang trofi Bintang Paling Popular?

Mampukah pemenang edisi lalu, Fattah Amin mempertahankan kemenangannya atau barangkali, trofi yang menjadi igauan insan seni itu akan beralih tangan? Berdasarkan situasi dan aliran semasa industri hiburan, persaingan bagi kategori ini diakui agak sengit.

Selain Fattah, penyanyi muda, Khai Bahar, Neelofa dan Syafiq Kyle dilihat sebagai antara nama yang mampu mencipta kejayaan pada acara kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu.

Bukan sesuatu yang mustahil andai nanti Fattah mengulangi kejayaannya.

Pernah melakar sejarah tersendiri pada edisi lalu, keutuhan populariti Fattah masih bertahan, terutama apabila drama lakonannya, Hero Seorang Cinderella dan My Coffee Prince menjadi sebutan, tahun lalu.

Namun, usah dinafikan kemampuan Khai yang turut dilihat mampu menangkis kemaraan Fattah.

Tuah sering menyebelahi penyanyi lagu Bayang itu dalam setiap acara anugerah berteraskan populariti. Pernah mencipta kejutan apabila mengungguli trofi Penyanyi Lelaki Popular, tahun lalu, jejaka yang berasal dari Perlis itu diakui mampu menghampakan nama besar lain untuk gelaran tertinggi itu.

Seandainya kontroversi menjadi ukuran dalam menilai populariti, kemungkinan trofi itu akan kembali semula ke tangan Neelofa yang pernah memenangi trofi Bintang Paling Popular, dua tahun lalu.

Sepanjang tahun lalu, nama pengacara ini cukup panas apabila sering dikaitkan dengan pelbagai kisah sensasi. Usah dilupakan potensi Syafiq Kyle yang kebelakangan ini mendaki carta populariti apabila kerjaya seni dan kontroversi bergerak seiring.

Populariti drama Nur dan kisah video panas mungkin memberi sedikit laluan mudah kepada Syafiq untuk menggenggam trofi itu.

ABPBH 31 diakui bakal menyaksikan persaingan sengit dalam beberapa kategori, terutama Penyanyi Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Antara Siti Nordiana, Wany Hasrita dan Ayda Jebat, siapa menjadi pilihan peminat untuk membawa pulang trofi Penyanyi Wanita Popular? Tidak mustahil jika Siti Nordiana akan mempertahankan trofi yang dimenanginya tahun lalu kerana sokongan peminat terhadap penyanyi itu sentiasa ampuh.

Tidak hanya mempertaruhkan lagu terbaru, penyanyi yang mesra disapa Nana itu juga menghasilkan biografi, Life Goes On yang mendapat sambutan hangat ketika dilancarkan, awal bulan lalu.

Boleh dikatakan hampir kesemua calon kategori Pelakon TV Wanita Popular mempunyai harapan untuk menang, berdasarkan sokongan peminat masing-masing. Nur Fazura, Janna Nick dan Fasha Sandha dilihat antara nama yang cemerlang dalam kategori itu.

Namun, tidak mustahil Zahirah Macwilson yang memantapkan posisinya ekoran populariti drama, Jangan Benci Cintaku mampu menafikan peluang semua calon lain.

Apabila jari menjadi juri, segala-galanya boleh berlaku.Untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, ramai yang meramalkan Zul Ariffin atau Zizan Razak akan menang mudah, manakala Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Nur Fazura, Ayda dan Janna.

ABPBH 31 juga menyaksikan cabaran pemenang musim lalu untuk mempertahankan pencapaian mereka. Antara anugerah yang mungkin agak mudah diramal pemenangnya adalah kategori Penyampai Radio Popular dan Pengacara Popular.

Berdasarkan pencapaian konsisten, tidak mustahil jika Raden dari Era FM dan Neelofa mengekalkan kemenangan masing-masing.

Tahun lalu, Zizan membuat kejutan apabila memenangi kategori Artis Komedi Popular dengan menewaskan saingan terdekat, Abam, yang juga pemenang pada ABPBH 29.

Apakah tahun ini ada lagi kejutan baharu ataupun peminat memberi kemenangan mudah kepada bakat dari Terengganu itu?

Bagi kategori Artis Versatil Popular pula, tanpa Ifa Raziah yang pernah dua kali memenangi trofi itu, peluang mungkin terbuka antara Zizan, Alif Satar dan Sherry Alhadad.

Sama-sama kita nantikan kemuncak ABPBH 31 yang bakal dipancarkan secara langsung menerusi TV3, jam 9 malam ini.

Berita Harian X