Ahad, 7 Oktober 2018 | 11:24pm
ALIF Satar bersama trofi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Kerja keras Alif Satar dihargai

PUTRAJAYA: Pemenang Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Alif Satar mengakui, terpaksa menempuh laluan berliku sebelum berpeluang mengecapi kejayaan.

Dia yang aktif sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara berkata, untuk mencapai tahap selesa itu, ia menuntut kerja keras dan komitmen jitu tanpa mengenal erti putus asa.

ALIF Satar pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

"Saya selalu ingatkan diri apabila diberikan tugas, saya perlu lakukan yang terbaik tanpa kompromi.

"Ia adalah tanggungjawab yang diamanahkan, jadi saya perlu buktikan pemilihan mereka itu tidak tersasar,” katanya kepada BH Online.

Katanya, apabila melakukan tugas dengan baik, pasti kemampuannya dipercayai, sekali gus populariti akan datang dengan sendiri.

"Bukan senang untuk buat peminat suka, jadi kita perlu ikhlas dalam setiap yang kita lakukan. Alhamdulillah, usaha saya akhirnya dihargai,” katanya.

Sementara itu, pemenang Artis Duo Koloborasi Popular, Ernie Zakri dan Syamel pula tidak menyangka dapat membolosi Top 5, seterusnya mengungguli kategori itu.

Syamel berkata, dia melihat Akim dan Majistret antara calon pilihan, namun bersyukur dengan rezekinya dan Ernie.

Berkongsi perancangan mereka, Ernie berkata, dia dan Syamel bakal tampil dengan single duet terbaru yang masih dalam pembikinan.

"Syukur, tidak sangka kami menang. Bagi saya, ini rezeki dan pemangkin semangat untuk saya serta Syamel bekerja lebih keras.

"Bila kami menang, ia memberi petanda positif gandingan kami diterima," katanya.

Berita Harian X