Isnin, 8 Oktober 2018 | 2:39pm

Fatimah pesan 'sek kito jange break'

KUALA LUMPUR: Menewaskan empat calon dewasa dalam kategori Personaliti Media Sosial Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, kanak-kanak petah berusia empat tahun, Fatimah Omar Mukhlis, berpesan semua pengikut menjaga hubungan agar tidak berpecah.

Fatimah yang menetap di London, United Kingdom (UK) memberi ingatan dalam dialek Kelantan berbunyi ‘sek kito jange break’ sebagai mesej semua pihak menjaga silaturahim.

Ibu Fatimah, Nor Ashila Mahamed Ismail berkata, anaknya gembira diumumkan sebagai pemenang menewaskan empat pesaing lain.

“Alhamdulillah, berkat doa ramai, akhirnya, impian anak kami, Fatimah menjadi kenyataan.

“Bagi pihak dirinya, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong dan mengundi. Kami bersyukur dikelilingi ramai insan yang senang dengan Fatimah dan abangnya, Omar Mukhtar dan adik mereka, Ali,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada BH Online.

Fatimah yang mencuri perhatian netizen melalui akaun Instagram @thefamily.uk menewaskan pemenang tahun lalu, Makhlok Macho dan tiga pesaing lain iaitu Mat Luthfi, Johanis Sani dan Nur Aisyah Mohd Razip.

Nor Ashila berkata, pihaknya terharu dan tidak menyangka Fatimah yang masih kecil dan berada jauh dari Malaysia, menjadi perhatian ramai.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada BH dan ABPBH 31 atas pengiktirafan diberi. Anugerah ini sudah sampai ke UK,” katanya.

Nor Ashila berkata, beliau memohon maaf kerana tidak dapat membawa Fatimah pulang menerima trofi ABPBH 31, malam tadi.

“Anak kami termasuk Fatimah perlu ke sekolah... Jadi sangat mustahil untuk pulang. Memang kami merancang pulang ke Malaysia... Setiap hari rindu.

“Tapi saya dan suami kena mendahulukan pelajaran anak. Insya-Allah ada rezeki pada masa akan datang, kami sekeluarga akan pulang,” katanya.

Fatimah yang dilahirkan di Birmingham, pantas menarik perhatian kerana tidak melupakan bahasa Melayu selain fasih ‘kecek Kelate’ hasil didikan ibu bapanya. Fatimah juga fasih berbahasa Inggeris dan Thailand.

Video pertama Fatimah yang memaparkan dirinya menyediakan cekodok pisang (jepuk pisey) bersama ayahnya, tular sejak 2017. Fatimah juga dikenali menerusi laman Instagram bapa saudaranya, Adam Mahamed Ismail yang mesra dipanggil ‘Mamajee’.

Berita Harian X