Isnin, 15 Oktober 2018 | 2:43pm
EMMA Maembong bersama trofi Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 31. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Emma Maembong, meraikan kejayaan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 31 bersama sebahagian peminatnya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ada rezeki nak menang lagi - Emma Maembong

KUALA LUMPUR: Dilihat antara artis yang sering kali dihimpit kontroversi, ia tidak menghalang Emma Maembong untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam bidang seni.

Pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 baru-baru ini, bintang Kimchi Untuk Awak itu membuktikan lakonannya turut mendapat perhatian apabila dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular.

Dua tahun lalu, dirinya pernah menjulang trofi lakonan pada anugerah sama, namun dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.

“Sekalipun tidak kurang kontroversi yang menimpa, namun seboleh-bolehnya saya cuba mengimbanginya dengan kemampuan dalam lakonan.

“Saya pula mengambil pendekatan, jika ada kontroversi yang tidak menjatuhkan, saya menggunakannya untuk menaikkan nama. Apa yang tidak elok pula, saya letakkan ke tepi dan terus berfikiran positif.

“Saya percaya, di mana-mana pun pasti ada ujian dan cabaran yang menanti, seterusnya membantu kita mematangkan diri,” kata pelakon drama Cik Sempurna ini kepada BH Online.

Pada edisi terbaru anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu, Emma yang kuat disokong kumpulan peminatnya, Emanizers, mengetepikan saingan empat lagi calon akhir iaitu Ayda Jebat, Izara Aishah, Janna Nick dan Nur Fazura.

“Bagai lengkap perjalanan seni saya dengan kemenangan dalam kategori drama, dua tahun lalu, dan kini untuk filem pula.

“Insya-Allah, jika ada rezeki saya teringin untuk menang lagi. Ia menjadi bukti usaha saya selama ini dilihat orang. Justeru, saya akan terus berusaha lagi. Andai ada rezeki buat Emanizers, kita akan pegang lagi trofi pada masa akan datang.

“Dalam hal ini, saya seharusnya berterima kasih kepada Emanizers yang tidak tidur malam kerana mengundi,” katanya teruja.

Berita Harian X