Sabtu, 20 Oktober 2018 | 3:32pm
PENYANYI, Andi Bernadee, teruja apabila single terbarunya, Satu Peluang, mendapat sambutan baik peminat. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Andi lega dapat 'Satu Peluang'

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali mencuba, penyanyi, Andi Bernadee, kini mampu menarik nafas lega apabila single terbarunya, Satu Peluang, mendapat sambutan baik daripada peminat.

Artis berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, itu berkata, lagu rancak ciptaan bekas anggota Sleeq, Alif, memberikan impak berbeza terhadap kerjaya seninya.

“Jujurnya, saya tidak menyangka single baharu ini menerima sokongan amat positif. Berbanding beberapa lagu saya terdahulu, Satu Peluang yang baru saja dilancarkan pantas diterima oleh peminat.

“Ia juga boleh dikatakan karya yang kena dengan jiwa saya dan Alif mampu memenuhi keinginan saya sebagai penyanyi.

“Ketika ini, saya banyak menerima banyak video peminat yang menyanyikan semula single terbabit, malah sebahagiannya membuat rakaman aksi mereka menari mengikut lagu itu. Mereka juga nampaknya menggemari ayat dalam bahasa Sepanyol, ‘dame solo una’ (yang bermaksud berikan aku satu) yang dimuatkan dalam lagu itu,” katanya.

Satu Peluang turut dipilih sebagai runut bunyi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek.

Ujar Andi, pada peringkat awal kemunculannya, dia dapat berasakan dirinya tidak mendapat perhatian penggemar dunia seni.

“Justeru, saya sangat gembira dan teruja dengan sambutan diberikan terhadap lagu ini. Saya amat bersyukur dengan rezeki diperoleh saat ini.

“Biarpun masih ada yang ragu-ragu dengan kemampuan saya, namun saya yakin mampu melangkah lebih jauh dalam bidang muzik,” katanya.

Sebelum ini, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, dilihat bergelut untuk menempatkan diri dalam industri hiburan tanah air.

Mac tahun lalu, dia muncul dengan single sulung, Tiada Lagi Maaf, namun ia kurang membuahkan hasil.

Begitupun, namanya mula diperkatakan apabila menyanyikan lagu, Tak Tun Tuang, dendangan asal Upiak Isil secara parodi. Videonya menjadi tular dan peminat mula memberikan perhatian kepada anak muda ini.

Pada Mei tahun ini, dia merakamkan semula lagu artis rap Indonesia, Roy Ricardo, Semalam Sahur Di Mana. Lagu itu juga dikatakan belum mampu melonjakkan namanya di arena seni.

Baru-baru ini pula, dia menyertai program realiti, Big Stage. Namun, perjuangannya dalam rancangan terbabit terhenti pada minggu ketiga.

Berita Harian X