Rabu, 24 Oktober 2018 | 11:44am
LIZA tiada halangan untuk beraksi ketika sarat hamil. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Yakin masih mampu beri aksi terbaik

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Liza Hanim, 39, tetap akan beraksi di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ke-33, meskipun usia kandungannya sudah mencecah hampir tujuh bulan.

Tidak berhasrat mencari pengganti untuk membawakan lagu Mimpi ciptaan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya pada persaingan 9 November ini, Liza yakin masih mampu memberikan persembahan terbaik.

"Saya sebenarnya membawa harapan peminat yang berusaha mengundi lagu ini hingga layak bersaing di pentas Separuh Akhir. Selagi saya mampu membuat persembahan, saya akan berikan yang terbaik walaupun sedikit penat.

"Saya perlu memberi sepenuh komitmen kerana pertandingan ini mempertandingkan kekuatan lagu, bukan penyanyi.

“Lagipun, ini impian saya untuk kembali beraksi selepas hampir 10 tahun beraksi di Separuh Akhir Muzik Muzik menerusi lagu Melawat Luka Terpendam," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33 di sini, hari ini.


LIZA Hanim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Mengakui tidak mengalami masalah beraksi di pentas ketika sarat hamil, Liza juga mahu melihat Mimpi layak ke acara kemuncak, Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33) pada Februari depan.

"Saya tidak meletak harapan yang tinggi, tetapi kalau lagu ini layak ke AJL 33, pencapaian itu amat bermakna selepas sekian lama menyepi.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai AJL 33 kerana ia masih jauh. Sekiranya layak, saya bersyukur cuma saya belum memikirkan penyanyi ganti memandangkan saya dijangka bersalin Januari depan,” katanya.

Liza yang bakal menimang anak lelaki berkata, dia bersyukur diberikan kesihatan yang baik sepanjang kehamilannya, malah tetap bersemangat untuk beraksi meskipun tarikh bersalin semakin menghampiri.

Berita Harian X