Selasa, 30 Oktober 2018 | 2:27pm
NOORKHIRIAH tidak pernah menyerah kalah. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Biar berbaloi apabila sesekali muncul - Noorkhiriah

KUALA LUMPUR: Sentiasa percaya kepada rezeki, pelakon berkarakter, Noorkhiriah tidak pernah menyerah kalah, malah yakin ruang untuk dia terus meneroka peluang dalam bidang lakonan masih terbuka luas.

Mencuri perhatian selepas membawakan watak Aishah dalam drama, Nur yang mencetus fenomena pada Ramadan lalu, Noorkhiriah, 42, berkata dia masih menanti tawaran yang bersesuaian sebelum kembali ke lokasi penggambaran.

“Diikutkan tawaran berlakon sentiasa datang, cuma saya terpaksa melupakannya kerana karakter diberikan tidak bersesuaian dengan jiwa. Bukan menolak rezeki, tetapi saya mencari karakter yang memberikan kepuasan kerana lakonan menuntut komitmen sepenuh jiwa.

“Kata orang, biar berbaloi apabila sesekali muncul kerana pada usia ini, saya tidak lagi mengejar nama atau bayaran lumayan. Saya tidak kisah, sebaliknya menganggap mungkin belum rezeki.

“Ketika ini, saya masih menanti tarikh penggambaran drama Nur 2 arahan Shahrulezad Mohameddin. Secara jujur, saya memang teruja untuk kembali bekerjasama dengannya, malah tertanya-tanya apa pula kejutan yang bakal diberikannya dalam Nur 2,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Noorkhiriah Ahmad Shafie itu berkata, dia juga teruja untuk kembali bergandingan dengan Azhan Rani yang membawakan watak Ustaz Hamadi dalam drama popular itu.

Mengakui puas apabila watak antagonis yang dijayakan mereka mengundang kebencian penonton, Noorkhiriah yang mesra disapa Noor berkata, dia selesa bekerjasama dengan Azhan

yang sentiasa ‘memberi’ di lokasi penggambaran.

“Senang berlakon dengannya kerana keserasian antara kami begitu kuat. Pengalaman juga banyak membantu, jadi ia memudahkan kerja kami di lokasi penggambaran.

“Sebelum Nur, kami pernah bergandingan bersama, namun impaknya tidak sehebat drama itu. Bayangkan gara-gara populariti produksi itu, kami diberi peluang menjayakan drama radio, Cinta Sup Bunjut di Kool FM.

“Pembabitan dalam drama radio 30 episod itu membuatkan kami semakin serasi, malah ia berlanjutan apabila saya dan Azhan kembali bergandingan dalam sebuah sitkom,” katanya.

Meskipun ramai yang sentiasa merindui kemunculan terbarunya, Noorkhiriah berkata, dia yakin peminat tidak begitu merasai kehilangannya memandangkan mereka masih boleh berhubung menerusi laman sosial, Instagram.

Sesekali katanya, kerinduan dalam bidang lakonan diluahkan menerusi rakaman video singkat ulasan produk di laman sosial itu.

“Mungkin ada yang menganggap saya seperti meraih simpati hingga sanggup membuat ulasan produk. Terserah apa orang nak cakap, tetapi saya juga mempunyai cara tersendiri untuk mendekati peminat.

“Saya hanya berkongsi rezeki dengan orang lain. Alhamdulillah, setakat ini ramai yang memberikan maklum balas positif, malah mereka juga tertarik dengan pendekatan yang saya cuba ketengahkan,” katanya.

Berita Harian X