Sabtu, 3 November 2018 | 2:55pm
AMYRA Rosli menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian menerusi lakonannya dalam drama Nur. - Foto NSTP/Aziah Azmee
AMYRA Rosli menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian menerusi lakonannya dalam drama Nur. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Amyra enggan berlakon watak air mata sahaja

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amyra Rosli, enggan mengehadkan bakat seninya dengan memainkan watak berat atau air mata semata-mata, seperti dijayakannya dalam drama Nur.

Bahkan, bintang jelita berusia 27 tahun itu bersedia untuk mencuba karakter berbeza, termasuk watak lebih ringan bagi mempelbagaikan lakonannya.

“Saya sebenarnya terbuka untuk melakonkan apa sahaja watak, termasuk yang ringan. Saya tidak boleh memegang watak berat sahaja sepanjang kerjaya seni, bimbang nanti penonton akan bosan pula apabila melihat saya memainkan karakter sama.

“Saya juga tidak gemar untuk memilih rakan gandingan, malah tak adil rasanya untuk saya berbuat demikian. Peluang itu harus diberikan kepada semua pelakon. Berbanding teman gandingan, saya lebih tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skrip, jalan cerita dan pengarahnya,” kata isteri kepada pelakon, Amar Baharin itu.

PELAKON Wanita Terbaik Drama Rantaian, Amyra Rosli dan Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian, Syafiq Kyle. - Foto NSTP/Aziah Azmee
PELAKON Wanita Terbaik Drama Rantaian, Amyra Rosli dan Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian, Syafiq Kyle. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Amyra berkata demikian ketika ditemui pada malam Anugerah Skrin (ASK) 2018 yang menyaksikannya menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian menerusi karya yang mencetus fenomena pada Ramadan lalu, Nur.

Akui selesa berlakon di samping Syafiq Kyle, yang turut memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian menerusi naskhah sama, Amyra teruja untuk kembali bekerjasama dengan aktor berkenaan dalam kisah susulan Nur nanti.

Dalam pada itu, Amyra memanjat kesyukuran apabila karya arahan Shahrulezad Mohameddin itu mencipta gemilang pada ASK kali ini. Selain dua trofi lakonan, ia turut diumumkan sebagai Drama Rantaian Terbaik (kategori bahasa Melayu).

“Drama terbabit memang meninggalkan impak besar pada kerjaya seni saya. Pengorbanan selama ini akhirnya berbayar dengan kejayaan yang diraih,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama 28 episod, Ku Kejar Cinta Kamu.

Dalam karya arahan Yusry Abdul Halim itu, dia berlakon di sisi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Fendy Bakry.

Sementara itu, diusik dengan pertanyaan mengenai bentuk badannya yang langsing seperti anak dara selepas melahirkan Aneef Anaqi, kira-kira setahun lalu, Amyra berkata banyak faktor membuatkannya semakin ramping.

“Banyak sebab membuatkan saya semakin kurus, termasuk tidur yang tidak mencukupi dan rutin menjaga anak yang kian membesar.

“Selain itu saya juga ada menggunakan sebuah produk pelangsingan badan. Sebelum ini, saya ada mencuba beberapa produk berbeza, tetapi kalau boleh saya memang nak kurus secara sihat.

“Apabila ramai yang memuji dan mahu mengetahui rahsia saya kembali kurus, kenapa tidak saya sendiri mempromosikan produk terbabit? Insya-Allah, saya akan keluarkan produk itu tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X