Sabtu, 10 November 2018 | 7:39pm
NADIYAH mengaku gementar apabila disahkan isteri kepada Ben di Singapura, petang tadi. - Ihsan Nadiyah Shahab
SEKITAR majlis pernikahan Nadiyah Shahab dan Ben Ali di The Ballroom at East Coast, Singapura, petang tadi. - Foto ihsan Aqo Imran dan Niezam Zaini
SEKITAR majlis pernikahan Nadiyah Shahab dan Ben Ali di The Ballroom at East Coast, Singapura, petang tadi. - Foto ihsan Aqo Imran dan Niezam Zaini
SEKITAR majlis pernikahan Nadiyah Shahab dan Ben Ali di The Ballroom at East Coast, Singapura, petang tadi. - Foto ihsan Aqo Imran dan Niezam Zaini

Nadiyah gementar jadi isteri Ben

KUALA LUMPUR: Pasangan Nadiyah Shahab dan Ben Ali selamat melangsungkan pernikahan di The Ballroom at East Coast, Singapura, petang tadi.

Majlis dihadiri kira-kira 700 tetamu itu menyaksikan bapa Nadiyah, Syed Fuad Syed Ahmad Shahab menikahkan pasangan sama padan sama cantik ini.

Pelakon jelita kelahiran Singapura yang menempa nama di Malaysia itu mengaku sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri.

Nadiyah menerima wang hantaran berjumlah RM45,000 selain menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama daripada pengantin lelaki.

Mas kahwin pula berupa cincin berlian.

“Gementar memikul status baharu ini... Tapi saya sudah bersedia dengan tanggungjawab dan ikatan ini. Semoga saya dan suami dapat melayari bahtera perkahwinan ini sebaik mungkin,” kata Nadiyah kepada BH Online.

Majlis itu turut dihadiri teman akrab pasangan itu seperti Nelydia Senrose, Raysha Rizrose, Aprena Manrose dan Oktovia Manrose.

Nadiyah dan Ben masing-masing tidak menolak mahu dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.

“Memang saya dan suami mahukan anak cepat. Lagipun, datuk saya sudah tua dan mahu segera berjumpa dengan cicitnya,” katanya.

Mengenai perancangan bulan madu, mereka bercadang ‘terbang’ ke Itali atau London.

“Cuma belum ada tarikh hendak berbulan madu. Ini kerana kami sedang sibuk berpindah rumah dan pejabat.

“Tapi insya-Allah jika ada kesempatan, kami akan menempah tiket dan terbang ke lokasi dihajati,” katanya.

Mengenai suami tercinta, Nadiyah menganggap Ben seperti teman karib yang banyak berjasa kepadanya.

“Ben menjadi antara insan paling penting dan banyak berjasa dalam hidup saya. Dia membantu membuka peluang untuk saya berlakon di Kuala Lumpur.

“Kami juga sudah seperti kawan karib. Banyak perkara yang kami boleh lakukan bersama, begitu juga dengan hobi. Contohnya, saya obses dengan semua perkara berkaitan Harry Potter termasuk novel. Ben juga membaca buku terbabit.

“Menyedari saya menggemari siri Game Of Thrones, Ben juga menontonnya,” katanya yang bakal meraikan sanak-saudara dan kenalan di Malaysia pada 17 November depan.

Pasangan ini bertunang pada 13 Januari lalu. Mereka berkenalan sejak dua tahun lalu dan mula akrab enam bulan selepas itu.

Nadiyah mula mengasah bakat lakonan di Malaysia sejak tahun lalu menerusi Encik Suami Mat Salih Celup, drama yang diterajui Daler Yusuf dan Nelydia Senrose.

Namanya semakin dikenali selepas memegang watak antagonis, Tengku Natasha, dalam drama Lafazkan Kalimah Cintamu.

8900 dibaca
Berita Harian X