Rabu, 14 November 2018 | 9:02am
KEK Little Pony dan Lion King yang ditempah Diana untuk meraikan hari jadi Kashfi dan Kayla. - NSTP/Rohanis Shukri

Jamu anak yatim kek Lion King

KUALA LUMPUR: ‘Bukan semuanya dimakan untuk hari jadi anak, sebaliknya dijamu anak yatim.’

Itu penjelasan Diana Rafar apabila kisah dia dan suami, Zamarul Hisham berbelanja RM6,000 membeli dua kek hari jadi anak, heboh diperkatakan netizen.

Diana memberitahu, netizen tidak tahu niat dirinya dan suami apabila membeli kek berupa karakter Lion King dan Little Pony untuk meraikan hari jadi anak sulung, Kashfi Haikal yang genap lapan tahun dan adiknya yang berusia setahun, Kayla Reysha, Sabtu lalu.

“Mengikut perancangan awal, kek Lion King mahu dikongsi dengan anak yatim ketika majlis sambutan hari jadi berlangsung.

“Namun, saya dan suami tidak dapat mengundang mereka pada hari dirancang. Akhirnya, kami penuhi niat dengan menghantar kek itu ke rumah anak yatim terbabit,” katanya kepada BH Online.


KELUARGA bahagia Zamarul dan Diana. - NSTP/Rohanis Shukri

Malam kelmarin, Diana berkongsi rakaman video di Instagram detik dia sekeluarga berkunjung ke sebuah rumah anak yatim di Denai Alam, bagi menjamu penghuninya kek Lion King berharga RM4,800.

Ahad lalu, BH Online melaporkan, Diana dan Zamarul berbelanja besar bagi meraikan hari jadi dua permata hati mereka.

Pasangan itu cuba merealisasikan hasrat Kashfi dan Kayla untuk mengadakan parti hari jadi bertemakan fantasi ala Disneyland di rumah baharu mereka di Shah Alam.

Namun, tindakan pasangan itu dikritik netizen yang mendakwa perbuatan mereka membazir dan menunjuk-nunjuk.

Mengulas tindakannya berkongsi rakaman video itu, Diana berkata, dia bukan sengaja melakukannya untuk menunjuk-nunjuk atau riak.


ANAK-ANAK penghuni sebuah rumah anak yatim di Denai Alam mengerumuni kek Lion King yang dijamu Diana dan suami. - Foto Ihsan Diana Rafar

“Saya cuma hendak kongsi cerita bahawa ada anak yatim yang masih kecil dan tidak bernasib baik. Ada antara mereka tidak pernah menyambut hari lahir dengan meriah apatah lagi melihat kek Lion King seumpama itu,” katanya.

Diana mengaku tidak mampu menahan sebak melihat kanak-kanak di rumah perlindungan itu menjamah kek hari jadi Kashfi.

“Apabila dapat berkongsi kek dengan mereka, ia memberi suatu kepuasan bermakna.

“Ini mengingatkan saya dan suami bahawa masih ada anak kecil yang memerlukan kasih sayang kita semua,” katanya.

Ditanya perasaan Kashfi melihat kek hari jadinya dijamah teman-teman di rumah anak yatim itu, Diana berkata, anak sulungnya itu faham niat ibu dan ayahnya.

“Ketika sampai di rumah anak yatim itu, Kashfi sedikit tergamam. Saya dan suami terangkan apa yang kami cuba lakukan.

“Selepas itu dia okay... Kayla juga teruja bertemu mereka,” katanya.

Berita Harian X