Ahad, 18 November 2018 | 11:07am
Penyampai radio Kool FM, Rea atau nama penuhnya Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad, 29, sah bergelar isteri kepada pemain dram kumpulan Drama Band, Faeez Ikhwan Abdul Halim, 28, di D’Tunjong Damansara Banquet Hall. - Foto Aziah Azmee

Terpikat cara suami layan orang tua

PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, penyampai radio Kool FM, Rea bergelar isteri kepada pemain dram kumpulan Drama Band, Faeez Ikhwan Abdul Halim di sebuah premis acara di sini, pagi tadi.

Penolong Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Masjid Kota Damansara, Mohamad Lutfi Shuhud menikahkan pasangan ini berwalikan bapa Rea, Tengku Mohamad Tengku Muda pada jam 9.41 pagi.

Rea atau nama penuhnya, Tengku Nur Suriya Tengku Mohamad, 29, menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Penyampai radio Kool FM, Rea atau nama penuhnya Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad, 29, sah bergelar isteri kepada pemain dram kumpulan Drama Band, Faeez Ikhwan Abdul Halim, 28, di D’Tunjong Damansara Banquet Hall. - Foto Aziah Azmee

Penyampai radio Kool FM, Rea atau nama penuhnya Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad, 29, sah bergelar isteri kepada pemain dram kumpulan Drama Band, Faeez Ikhwan Abdul Halim, 28, di D’Tunjong Damansara Banquet Hall. - Foto Aziah Azmee

"Alhamdulillah, selesai sudah majlis nikah. Tengah hari ini akan berlangsung majlis resepsi membabitkan kedua-dua belah keluarga di lokasi sama.

"Semoga rumah tangga kami akan diberkati. Doakan yang terbaik buat saya dan suami melayari bahtera perkahwinan ini sebaik mungkin," kata Rea kepada BH Online.

Rea mengaku mula rapat dengan Faeez, 28, kira-kira dua tahun lalu.

"Acara anjuran stesen radio Hot FM #Dekatjetour memutik perkenalan kami. Seterusnya, kami mengikat tali pertunangan pada 10 Februari lalu di rumah keluarga saya di Kuala Terengganu," katanya.

Mengenai suami, Rea melihat banyak ciri-ciri positif ada pada Faeez.

"Dia memang kuat bekerja. Dia juga tenang dalam menghadapi masalah. Cara suami menghormati orang tua termasuk ibu bapa menjadi cerminan bagaimana dia melayan saya," katanya.

Rea dan Faeez tidak menolak rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

Mereka akan berangkat ke Bali untuk berbulan madu, lusa.

Berita Harian X