Ahad, 18 November 2018 | 8:24pm
IBU Aidil, Rokkiah Md Noor menyarungkan cincin pertunangan di jari manis Fasha, petang tadi. - Foto Ihsan Fasha Sandha

Pandai pikat anak, Fasha terima lamaran Aidil

KUALA LUMPUR: Selamat bertunang dengan Aidil Aziz di Ampang, petang tadi, aktres popular, Fasha Sandha mendedahkan jejaka itu melamarnya pada 21 Jun lalu.

Fasha atau nama penuhnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 34, mengaku dia mengambil masa beberapa bulan untuk memikirkan lamaran Aidil yang disapanya ‘Pak Ngah’ berikutan diburu rasa khuatir.

“Saya sebenarnya khuatir dan dilema untuk menerima lamaran Aidil pada mulanya.

“Namun, saya lihat kualiti yang ada dalam diri Aidil. Dia cukup akrab dengan kedua-dua anak saya dari awal saya perkenalkan mereka lagi.

“Saya tertarik kerana Aidil mengambil inisiatif mendekati anak-anak dengan meluangkan masa dan bijak mengambil hati mereka.

“Malah, Aidil juga pandai menghormati ibu bapa dan keluarga saya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, Fasha menamatkan hubungan cinta bersama Aidil atau nama penuhnya, Mohd Aidil Abdul Aziz, 31, dengan mengikat tali pertunangan pada majlis tertutup di Ampang, selepas Asar tadi.

Majlis pertunangan yang hanya dihadiri kaum keluarga dan teman rapat itu diadakan secara sederhana atas permintaan kedua-dua keluarga.

Majlis bermula selepas Asar di mana pihak Aidil menyerahkan tiga dulang hantaran dan berbalas lima dulang daripada pihak Fasha

Antara barangan yang dijadikan hantaran termasuk sebentuk cincin pertunangan, manisan, set kelengkapan, wangian dan pakaian.

Pada majlis itu, Fasha disarungkan sebentuk cincin tanda pertunangan oleh ibu Aidil, Rokkiah Md Noor sambil disaksikan ayah Aidil, Abdul Aziz Ishak dan kaum keluarga dari Rembau, Negeri Sembilan.

Ibu Fasha, Hatijah Tehman turut hadir bersama kaum keluarga bagi memeriahkan majlis pertunangan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut tempoh pertunangan pasangan ini.

Fasha yang meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Skrin (ASK) 2017 menganggap majlis pertunangan itu sangat istimewa.

Ini kerana dia tidak pernah melalui fasa bertunang biarpun pernah mendirikan rumah tangga.

“Saya berharap dapat mengenali Aidil dengan lebih selepas pertunangan ini

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Aidil dan keluarganya menerima saya dan anak-anak dengan baik sekali. Saya harap pertunangan ini akan kekal hingga ke perkahwinan,” katanya.

Fasha yang akan memulakan penggambaran drama bersiri Semua Salahku TV3 berkata, status janda tidak pernah menghalangnya berkahwin semula asalkan bakal suami boleh menyayangi anak-anak dengan baik.

Sementara itu, Aidil menyifatkan perkenalan selama setahun bersama Fasha sudah cukup meyakinkan hatinya untuk menerima sebagai tunangan.

“Saya sukakan sifat keibuan yang ada pada Fasha. Dia selalu menghargai orang di sekeliling. Sifat sederhana yang ada pada Fasha membuatkan dia disayangi ramai termasuk saya dan keluarga.

“Bohong kalau saya katakan tiada yang persoal atau memandang pelik kerana siapa saya yang masih bertatih membina nama untuk memiliki hati Fasha yang cukup besar profilnya sebagai pelakon di Malaysia.

“Namun, saya percaya soal jodoh ini bukan kerja kita dan jauh sekali untuk kita persoalkan. Sudah tertulis jodoh saya dengannya dan saya menerima baik ketentuan itu.

“Justeru persepsi negatif atau apa saja pandangan orang lain tak perlu saya fikirkan,” katanya.

Aidil berkata, keutamaannya sekarang adalah untuk bekerja keras mengukuhkan diri dalam membina sebuah keluarga.

“Saya melihat tempoh bertunang ini adalah satu fasa persediaan untuk memimpin sebuah keluarga tak kira dari aspek ilmu agama, kewangan, mental dan percaturan akan datang.

“Insya Allah, saya tak nampak sebarang masalah. Ini kerana hubungan saya dan Fasha berlandaskan keikhlasan, rasa jujur antara satu sama lain serta sentiasa berkomunikasi dalam memperbaiki mana kurang dan salah.

“Alhamdulillah, saya lihat ini sebagai perkembangan yang cukup baik untuk kami berdua sebelum berkahwin kelak”, katanya yang membintangi drama Cinta Lemon Madu dan Villa Ghazara yang sedang ditayangkan di TV3.

Fasha mula mengenali Aidil, akhir tahun lalu selepas sama-sama terbabit sama dalam penggambaran sitkom.

Sejak itu, pasangan ini mula akrab dan akhirnya tampil tanpa menafikan sebagai pasangan kekasih, pertengahan tahun ini.

Sebelum ini, Fasha mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 tetapi bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia lima tahun dan Putri Raysha Jemyma yang berusia empat tahun.

Berita Harian X