Isnin, 26 November 2018 | 9:25am
RIZ pernah diberitahu kononnya syarikat produksi sukar mencari pelakon gandingan buat dirinya atas faktor ketinggian yang dimilikinya. - Foto Instagram Riz Amin

'Sukar cari gandingan sebab tinggi sangat'

KUALA LUMPUR: Rendah susah, tinggi pun jadi masalah.

Begitulah dilema dihadapi Riz Amin yang mengaku laluan kariernya berliku biarpun sudah 17 tahun berlakon.

Pernah diberitahu kononnya ketinggian mencecah 188 sentimeter menyukarkan produksi mencari gandingan buatnya, Riz bagaimanapun tidak pernah berputus asa mencipta nama.

“Dulu pernah sebuah syarikat produksi beritahu kononnya saya terlalu tinggi. Jadi, susah bagi mereka mencari pelakon gandingan wanita.

“Saya tak pasti sama ada itu sekadar alasan atau usaha menyekat saya daripada mendapatkan tawaran. Bagi saya, kenyataan seumpama itu tidak kreatif.

“Saya selalu tengok drama Korea di mana soal pelakon tinggi atau rendah, bukan suatu isu.

“Dalam hal ini, saya percaya kreativiti amat penting bagi kerja belakang tabir. Misalnya, dengan teknik kamera yang betul, faktor pelakon tinggi atau rendah bukanlah suatu isu yang perlu dibimbangkan,” katanya kepada BH Online.

Akur perjalanan karier tidak sepantas pelakon lain, Riz percaya dengan rezeki.

“Memang klise bunyinya jika ada yang bertanya kenapa saya tidak boleh pergi jauh, sedangkan ada pakej.

“Benar ada kalanya, untuk saya bergerak ke depan agak susah. Namun, saya bersyukur pada awal karier dulu, ada syarikat produksi yang menghargai bakat diri ini,” katanya yang berterima kasih kepada Syarikat Radius One dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin yang memberinya peluang.


MELALUI entri di Instagram, Shasha Saidin mengaku Riz tinggi lampai apabila mereka bergambar berdua pada suatu majlis, baru-baru ini. - Foto Instagram Riz Amin

Riz juga menghargai sokongan pelakon yang pernah bekerjasama dengannya seperti Bront Palarae, Sharifah Amani dan ramai lagi.

Menyoroti karier seninya, jejaka tinggi lampai ini memberitahu, dia bermula sebagai pelakon tambahan sebelum mula ditawarkan watak penting.

“Saya tahu laluan kerjaya seni ini bukan semudah disangka. Ada pelakon senang laluannya, ada pula yang perlu bergelut.

“Dulu saya tak kisah bertatih. Daripada pelakon tambahan, saya diberi watak penting. Malah, saya juga sudah beberapa kali diberi peranan utama,” katanya.

Riz berkata, dia sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan.

“Tidaklah sampai tak terisi perut... Cuma populariti ampuh belum menjadi milik saya,” katanya.

Makin menyerlah, tahun ini sahaja, tiga filem lakonan Riz iaitu Kalla : Hidup Atau Mati, Tujuh dan terbaru, Polis Evo 2 ditayangkan.

Tambah Riz, impak daripada filem terbabit, stesen televisyen (TV) dan syarikat produksi mula menghubungi dan menawarkan watak dalam projek drama.

“Sekarang saya terbabit dengan penggambaran drama 26 episod Pelangi Cinta Abu Dhabi yang turut menjadikan destinasi luar negara seperti Abu Dhabi dan Dubai sebagai lokasi,” katanya.

5869 dibaca
Berita Harian X