Selasa, 27 November 2018 | 12:10pm
Membuang jauh kisah cinta tidak kesampaian, Erwin mahu memberi tumpuan kepada karier lakonan. Dua minggu lalu, aktor filem Pulang ini putus kasih dengan Julia. - Foto IG Erwin Dawson

'Cukup-cukuplah... Beri kami ruang'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Erwin Dawson enggan mengeruhkan lagi keadaan dengan mengulas lebih lanjut mengenai kemelut hubungannya dengan bekas kekasih, Julia Farhana.

Meminta ruang atas keputusan yang diambil bersama, Erwin, 29, memilih tidak memberi komen apabila niatnya melangkah lebih jauh dalam hubungannya bersama Julia, tidak kesampaian.

“Jujurnya, saya tidak tahu hendak jawab mengenai hal ini kerana takut tersalah cakap.

“Bagi saya, apa yang berlaku masih baru... Kami memerlukan ruang sebelum mengulas lebih banyak lagi mengenai hal ini,” katanya kepada BH Online.

Erwin memberitahu, dia dan Julia membuat keputusan membawa haluan masing-masing, dua minggu lalu.

“Kami tidak mahu keadaan lebih rumit. Saya sentiasa positif atas apa yang berlaku dan anggap ada hikmah di sebalik perkara ini.

“Banyak perkara lain yang harus saya capai dalam hidup selain cinta. Fokus diberi kepada kerjaya sekarang. Ruang ini digunakan untuk membaiki kekurangan diri,” katanya.

Sebelum ini, Erwin dilaporkan bakal mengakhiri zaman bujang bersama Julia, tahun hadapan. Namun, hubungan yang terjalin sejak awal tahun lalu, kecundang di tengah jalan.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Erwin sibuk menjalani penggambaran drama 20 episod berjudul Mimpi Sabrina arahan Nizam Zakaria.

Selain Erwin, drama yang bakal disiarkan di slot Samarinda TV3 itu turut menampilkan Juliana Evans, Josian Hogan, Marissa Yasmin, Tasha Shila, Ako Mustapha dan ramai lagi.

Berita Harian X