Isnin, 3 Disember 2018 | 6:43pm
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah pada sidang media Konsert Duo Lagenda bersama Datuk M Nasir di Hotel Grand Campbell. - Foto Saddam Yusoff
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah pada sidang media Konsert Duo Lagenda bersama Datuk M Nasir di Hotel Grand Campbell. - Foto Saddam Yusoff

'Salah saya rumah tangga dulu tak kekal'

Foto Saddam Yussof

KUALA LUMPUR: Segmen khas untuk dua putera tersayang menjadi cara untuk Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah meluahkan apa yang terbuku dalam hati berhubung kegagalan rumah tangganya, pada Konsert Duo Legenda di Istana Budaya, tidak lama lagi.

Jamal, 59, berkata, beliau akan mendendangkan lagu berjudul Kisah Ayah dan Anak dalam segmen itu yang ditujukan buat dua putera kesayangan, Osama Yamani, 17, dan Ahmad Zaki Yamani, 11, pada konsert empat hari mulai 20 Disember depan.

“Lagu itu mengisahkan perihal ayah dan ibu yang cuba mendirikan mahligai untuk kebahagiaan rumah tangga, tapi malangnya, tidak berjaya.

“Secara simboliknya, ia adalah penyesalan saya yang tidak dapat mendirikan mahligai diharapkan keluarga.

“Dengan cara ini, saya dapat menerangkan pada anak-anak bahawa saya bukan berniat untuk menganiaya sesiapa... Ini adalah takdir yang Allah tentukan.

“Mungkin dengan cara ini, anak-anak boleh memahami di mana saya sudah cuba memulihkan rumah tangga tapi tidak berjaya.

“Saya salahkan diri saya kerana tidak dapat mengemudi bahtera perkahwinan,” katanya pada sidang mengenai persiapan konsert yang menampilkan dirinya dan Datuk M Nasir di sini, hari ini.

Pada sidang media itu, Jamal ditemani isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 24.

Osama adalah hasil perkahwinan Jamal dengan Noraina Mohd Yusof manakala Ahmad Zaki adalah daripada perkahwinan ketiganya dengan Fatimatuzahrah Samad.

Sebelum itu, Jamal berkahwin dengan Basariah Abdul Latiff.

Penyanyi Kekasih Awal dan Akhir ini tidak menolak kemungkinan anaknya, Osama akan bermain gitar bagi mengiringi persembahannya pada konsert itu.

“Buat masa ini, saya tak boleh janjikan kehadiran Osama. Ini kerana dia sedang sibuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mungkin selepas tamat nanti, saya akan berbincang dengan penganjur.

“Mungkin Osama akan tampil dalam slot terakhir bersama saya. Saya juga mungkin membawa Osama mengiringi persembahan sempena promosi konsert di televisyen (TV),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai konsertnya, Jamal dijangka mendendangkan rangkaian lagu popular seperti Penghujung Rindu, Bicara Cinta, Kau Lupa Janji dan Di Sudut Kamar Hati.

Manakala dalam sesi duet bersama Nasir, mereka akan menyampaikan lagu Kepadamu Kekasih, Kiambang, Malam dan Ghazal Untuk Rabiah.

Paling istimewa, konsert itu menampilkan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang akan bermain biola dan penyanyi dari Australia yang mencipta nama di Malaysia, Cassidy Anderson.

Cassidy akan menyanyikan lagu Sandarkan Pada Kenangan bersama Jamal dan Dua Insan bersama Nasir.

Peminat yang ingin menyaksikan Jamal dan Nasir, boleh mendapatkan tiket berharga RM158 sehingga RM1,000 dengan melayari www.ilassotickets.com atau menghubungi 03-21706333.

Berita Harian X