Khamis, 6 Disember 2018 | 11:35am
JASMIN kecewa dengan sikap segelintir pelakon muda yang ghairah mencari pengikut berbanding ilmu. - Foto NSTP

Nak berlakon cari ilmu, bukan pengikut - Jasmin Hamid

KUALA LUMPUR: Pelakon berkarakter, Jasmin Hamid tidak selesa dengan sikap segelintir pelakon yang terlalu taasub dengan media sosial hingga membelakangkan kualiti dan disiplin kerja.

Katanya, perbuatan mereka yang terlalu leka dengan telefon bimbit ketika di set penggambaran hanya menjejaskan tumpuan terhadap lakonan.

“Saya paling tidak selesa bekerja dengan pelakon yang membawa telefon bimbit ke set penggambaran kerana ia mengganggu fokus ketika berlakon.

“Dahulu, sesiapa yang membawa telefon bimbit ke dalam set akan dirampas. Hanya apabila selesai kerja, baru dapat semula telefon bimbit itu.

“Segelintir pelakon era sekarang kurang berdisiplin, malah ketika pengarah sedang memberi arahan, mereka masih leka bermain telefon,” luahnya di Instagram.

Jasmin berkata, lebih mengecewakan apabila sesetengah pelakon terlalu ghairah mengumpul pengikut di laman sosial dan tidak mempunyai keinginan untuk menambah ilmu.

“Senario sebegini membuatkan ramai pelakon yang cepat naik tidak bertahan lama dalam industri.

“Pelakon yang baik mencari ilmu, manakala pelakon popular mencari pengikut. Jadi, terpulang kepada pilihan sendiri,” katanya lagi.

Luahan Jasmin itu turut mendapat sokongan Rita Rudaini yang mengakui, pernah berdepan situasi yang sama di lokasi penggambaran.

Berita Harian X