Jumaat, 7 Disember 2018 | 12:21pm
AMAR dan isteri bakal menyambut kelahiran anak kedua pertengahan tahun depan. - Foto Instagram Amar Asyraf

Rezeki Amar isteri hamil lagi

KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Asyraf bakal menimang cahaya mata kedua, pertengahan tahun hadapan.

Amar, 32, berdoa proses kehamilan isteri lancar dan berharap putera sulung, Amar Taufiq yang berusia empat tahun, dikurniakan adik perempuan.

“Alhamdulillah… Saya dan isteri tidak sangka dapat rezeki ini selepas isteri beritahu kitaran haid tidak menentu, baru-baru ini.

“Selepas isteri mengadu selalu pening dan berat badan naik, saya bawa dia ke klinik. Doktor kemudian mengesahkan isteri hamil lebih tiga bulan,” katanya kepada BH Online.

Amar yang dikenali melalui drama rantaian Setia Hujung Nyawa, mendirikan rumah tangga dengan Arna Salleh pada 2013.

Mereka dikurniakan anak sulung, Taufiq pada 9 Julai 2014.

Amar berkata, dia belum tahu jantina anak yang bakal dilahirkan.

“Saya mahukan anak perempuan kerana sudah diberi rezeki anak sulung lelaki.

“Namun, apa yang penting adalah kesihatan isteri dan bayi dalam kandungan. Lagipun, saya tidak mahu terlalu berharap... Nanti kecewa pula,” katanya.

Amar atau nama penuhnya, Amar Asyraf Zailuddin berkata, isterinya mengalami alahan trimester pertama yang teruk hingga sukar menjamah makan.

“Tidak sampai hati melihat isteri yang kerap muntah kerana alahan yang teruk. Dia hanya boleh makan burger daging.

“Saya juga berpesan kepada Taufiq untuk menjaga ibu. Walaupun masih kecil, dia faham dan suka mengurut kaki Arna sebelum tidur,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, teater arahan Amar yang berjudul Sitora bakal dipentaskan selama tiga hari mulai 14 Disember depan di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Teater adaptasi filem Sitora Harimau Jadian arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu menampilkan Johan Asa’ri, Syazwan Zulkifli, Neera Azizi dan ramai lagi.

Berita Harian X