Ahad, 9 Disember 2018 | 5:21pm
KAKA mengakui bakal menamatkan zaman gadisnya dalam masa terdekat. Foto: Instagram Adam Azriff

Kami akan bernikah dalam masa terdekat - Kaka Azraff

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff mengakui, sudah dirisik ahli perniagaan yang dikenali sebagai Adam Azriff dan memaklumkan bakal mengakhiri zaman gadisnya dalam masa terdekat.

Belum bersedia untuk berkongsi butiran mengenai hari bahagiannya itu, Kaka, 29, meminta peminat supaya mendoakan segala perancangannya berjalan lancar.

“Memang benar saya sudah dirisik dan Alhamdulillah, majlis ringkas itu berjalan dengan lancar. Majlis itu hanya membabitkan keluarga kami berdua.

“Insya-Allah, kami bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, namun butiran lanjut mengenainya hanya akan dikongsi apabila sampai masanya.

“Terima kasih kepada peminat dan mereka di luar sana yang sentiasa mendoakan kebahagiaan saya,” kata Kaka.

Spekulasi penyanyi yang popular dengan lagu Bukan Hal Aku dan Sibuk itu bakal menamatkan zaman gadisnya heboh diperkatakan, baru-baru ini apabila Adam memuat naik foto seorang wanita dipercayai ibunya menyarung cincin ke jari artis itu menerusi Instagram Story.

Mula berkenalan sejak setahun lalu, Kaka atau nama penuhnya, Nor Atiqa Noor Azraff bersyukur apabila hasrat untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya disambut baik jejaka itu.

“Kami sudah berkawan sejak setahun lalu dan sikap positif Adam membuatkan saya yakin untuk membawa hubungan kami ke peringkat lebih serius.

“Jodoh saya tiba tanpa disangka-sangka, namun saya bersyukur dipertemukan dengan Adam. Sukar untuk saya ungkapkan keistimewaan Adam, biarlah hanya saya yang tahu,” kata Kaka.

Berita Harian X