Sabtu, 22 Disember 2018 | 8:38pm

Tak sangka teman kongsi masalah jadi suami - Kaka

SUNGAI BULOH: Penyanyi, Kaka Azraff, 29, tidak menyangka dirinya memilih teman karib yang juga tempatnya berkongsi masalah sebagai suami.

Katanya, lebih setahun dia dan Adam Azriff, 24, berkawan rapat dan saling meluahkan masalah peribadi, yang akhirnya membibitkan rasa cinta dalam diri masing-masing.

"Kami berkawan sejak setahun lalu dan tanpa disangka, hubungan ini menjadi serius apabila dia melamar saya pada awal Oktober lalu.

“Asalnya, dia membawa saya berjumpa bapanya untuk diperkenalkan sebagai kawan. Kemudian, bapanya bertanya, kenapa tidak disatukan sahaja?

"Saya seperti tidak percaya hubungan kami menjadi semudah ini. Ia sampai ke tahap ini dalam tempoh yang singkat," kata Kaka ketika ditemui pada majlis resepsi mereka, di sini hari ini.

Percaya pada jodoh, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff tidak menganggap jarak usia lima tahun antara mereka sebagai penghalang untuk kedua-duanya disatukan sebagai suami isteri.

Penyanyi lagu Sibuk itu berkata, dia amat menyenangi sikap Adam yang jujur, kelakar dan matang, membuatkan pintu hatinya terbuka menerima lamaran pemuda terbabit.

"Saya juga tidak berasakan perkahwinan ini diadakan secara tergesa-gesa kerana saya sendiri tidak lagi mahu menjalinkan hubungan cinta yang panjang.

“Saya anggap semua ini sebagai jodoh dan saya sangat bersyukur apabila dipertemukan dengan orang yang betul-betul serasi dengan jiwa serta personaliti saya.

"Kami sengaja memaklumkan mengenai pernikahan pada saat akhir bagi menghormati permintaan keluarga. Ia juga adalah kehendak kami sendiri. Jika diumumkan lebih awal, bimbang pula ia tak jadi," katanya.

Adam dan Kaka dinikahkan pada 14 Disember lalu di kediaman keluarga penyanyi itu di Klang, Selangor, dengan mas kahwin RM300.

Majlis resepsi pasangan itu pula berlangsung di The Property By W&S milik bapa Adam, yang juga seorang ahli perniagaan, di Kampung Kubu Gajah, di sini.


PENYANYI, Kaka Azraff bersama suami, Adam Azriff, pada majlis resepsi mereka di Sungai Buloh. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Adam berkata, dia memilih Kaka sebagai pasangan hidup kerana selesa dengan keperibadian wanita itu.

"Saya membawanya berjumpa bapa di kafe milik saya dan di tempat itulah juga lamaran saya diterima. Saya tidak sekadar mahu menjadi suami, sebaliknya teman lelaki dan tempat dia berkongsi segala-galanya.

"Sebelum ini, dialah tempat saya meluahkan perasaan dan masalah. Dia pendengar setia dan sikapnya itulah yang membuatkan saya senang serta selesa dengannya," katanya.

Tidak menghalang Kaka untuk meneruskan karier seni, Adam turut berkata, dia akan membawa isterinya berbulan madu dengan mendaki Annapurna di Nepal, awal tahun depan.

KAKA dan Adam pada majlis resepsi yang berlangsung di Sungai Buloh. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X