Selasa, 25 Disember 2018 | 10:02am
IMEJ baharu Riz berambut pendek dan kemas dikatakan peminat seperti penuntut tingkatan lima yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - Foto IG Riz Ismail

'Macam budak lepas SPM'

KUALA LUMPUR: Foto imej baharu dengan rambut pendek dan kemas yang dimuat naik Riz Ismail di Instagram, baru-baru ini, mengundang reaksi peminat.

Terkejut dengan penampilan berbeza itu, ada peminat mengaitkannya sebagai persediaan Riz menyambut tahun baharu.

Namun, ada juga yang berseloroh kononnya peserta musim keempat program realiti, Pencetus Ummah (PU) itu tampak seperti penuntut sekolah yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Riz, 23, memberitahu, sesekali dia suka mengubah penampilan biarpun tidak biasa memotong rambut sependek itu.

“Boleh dikatakan ini imej 2019... Tampak lebih segar. Saya memang tidak biasa memotong rambut pendek. Sesekali bertukar angin... Tak salah berubah gaya rambut.

“Tengoklah nanti apakah imej ini akan memberi kesan kepada momentum lakonan saya. Namun, tidaklah keterlaluan hingga mengharapkan watak luar biasa dengan gaya begini,” katanya kepada BH Online.

Riz berkata, dia masih mahu melakonkan watak budak baik atau ustaz.

“Watak gangster atau nakal jauh sekali saya akan terima... Ini seiring prinsip diri tidak mahu terlalu ekstrem,” katanya.

Riz berkata, dia sengaja mengubah gaya daripada apa yang lazim dilihat.

“Dulu orang kata, saya lebih tua daripada usia sebenar. Jadi sekarang, saya mahu jadi lebih muda,” katanya.

Mengulas drama terbaru lakonannya, Selafaz Cinta yang diterbitan Suhan Movie & Trading Sdn Bhd, Riz berkata, dia memegang watak Ustaz Faqih yang sukakan gadis bernama Jannah lakonan Syatilla Melvin.

Sebelum ini, Riz pernah melakonkan watak antagonis dan lelaki mata keranjang dalam Lelaki Kiriman Tuhan terbitan Zeel Production.

Dalam perkembangan lain, Riz baru selesai menjalani penggambaran filem sulungnya, Ada Apa Dengan Dosa.

Berita Harian X