Selasa, 25 Disember 2018 | 5:32pm
Noorkhiriah tidak sabar memulakan penggambaran drama Nur 2 arahan Shahrulezad Mohameddin, tidak lama lagi. Noorkhiriah yang membawa watak Aishah, bakal berganding lagi dengan Azhan Rani. - Foto Aziah Azmee

Noorkhiriah ulas produk sebab dah tak laku?

KUALA LUMPUR: Tidak peduli kata-kata orang, Noorkhiriah mahu terus aktif membuat ulasan produk di laman sosial biarpun ada pihak menyindir kononnya dia sudah tidak ‘laku’.

Percaya rezeki ada di mana-mana, pelakon drama rantaian popular, Nur itu memberitahu, dia mahu memanfaatkan setiap peluang yang ada selagi diterima ramai.

“Saya percaya apa yang dibuat pasti memberi perspektif baik atau buruk kepada orang yang melihatnya.

“Mungkin ada yang menganggap saya seperti meraih simpati apabila tiada tawaran berlakon hingga sanggup buat ulasan produk atau perkhidmatan di Instagram.

“Tak kisahlah apa orang nak cakap, saya hanya cuba memanfaatkan ruang dan peluang yang ada sebaik mungkin,” katanya kepada BH Online.

Sejak beberapa bulan lalu, Noorkhiriah menarik perhatian ramai apabila sering membuat ulasan produk dan perkhidmatan di Instagram mengikut gaya bersahaja dan melucukan.

Noorkhiriah atau nama penuhnya, Norkhiriah Ahmad Shafie, 42, bersyukur apabila diberitahu ulasan dibuat mendapat sambutan positif orang ramai.

“Saya hanya menghebahkan sesuatu barangan atau servis dengan kelebihan yang ada. Selebihnya, saya percaya rezeki sudah tertulis untuk kita semua.

“Syarikat produk atau perkhidmatan memberitahu mereka mendapat perhatian yang lebih hasil perkongsian saya. Itu sudah membuatkan saya bersyukur... Setidak-tidaknya, perniagaan mereka maju dan ada rezeki dikongsi,” katanya.

Noorkhiriah mengaku ada ditawarkan berlakon tetapi ditolak.

“Saya hanya menunggu bermulanya penggambaran drama Nur 2 yang diarahkan Shahrulezad Mohameddin. Saya sangat teruja kembali ke set penggambaran drama itu, tidak lama lagi,” katanya.

Noorkhiriah yang melakonkan watak Aishah, seronok kembali berganding dengan Azhan Rani.

“Senang beraksi dengan pelakon seperti Azhan. Kami sama-sama tahu apa yang hendak diberi, jadi kerja lebih mudah.

“Kami pun sebenarnya ‘gila-gila’. Dulu pernah berlakon sama, tapi impak dalam Nur lain macam pula,” katanya.

Noorkhiriah berkata, selepas Nur berakhir, dia diundang stesen radio Kool FM untuk menjayakan drama Cinta Sup Bunjut sebanyak 15 episod.

“Tak sangka drama radio itu mendapat sambutan baik hingga ditambah 15 episod lagi,” katanya.

Berita Harian X