Ahad, 30 Disember 2018 | 1:57pm
NABILA antara pelakon pilihan penonton untuk membawa watak Juita. - Foto NSTP

Nabila Huda antara pelakon pilihan bawa watak Juita

KUALA LUMPUR: Pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin mengakui, buntu sejak Nelydia Senrose mengambil keputusan tarik diri melakonkan watak antagonis, Juita dalam karya sekuelnya, Nur 2.

Ezad berkata, dia mempunyai beberapa nama pilihan yang dicadangkan peminat dan produksi antaranya Nadia Aquilah, Nabila Huda, Nad Zainal serta Mimi Lana.

"Ketika menghasilkan skrip, saya hanya membayangkan Nelydia. Tetapi apabila dia tarik diri, saya buntu untuk mencari pelakon lain yang sesuai.

"Saya ada memuat naik mengenai perkara itu di media sosial dan meminta bantuan netizen memikirkan pelakon yang sesuai.

"Banyak nama yang dicadangkan, tetapi selepas berbincang dengan produksi, empat pelakon ini mempunyai kriteria yang dicari.

“Namun, saya masih belum pasti antara mereka siapa yang sesuai untuk membawa watak jahat itu," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Shahrulezad memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Nelydia yang memaklumkan, dia menarik diri daripada projek itu.

Nelydia yang sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah membuat keputusan itu selepas berbincang dengan keluarganya yang tidak bersetuju dia membawakan watak terbabit.


SHAHRULEZAD masih mencari pelakon untuk menggantikan Nelydia dalam Nur 2. - Foto Aziah Azmee

Sementara itu, Ezad berkata, seandainya masih belum menemui jalan penyelesaian, dia menyerahkan keputusan memilih pelakon kepada stesen televisyen, TV3.

"Mengikut perancangan, penggambaran Nur 2 akan bermula minggu depan.

“Biarpun belum menemui pelakon untuk membawa watak Juita, penggambaran tetap diteruskan.

“Saya yakin kami sempat mencari pelakon ganti memandangkan penggambaran membabitkan watak itu hanya akan bermula dua minggu lagi,” katanya.

Nur 2 bakal menyaksikan gandingan pelakon seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Raja Atiq, Rina Diana, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Laila Nasir, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Ia dijangka ditayangkan di TV3 pada pertengahan Mac depan.

2307 dibaca
Berita Harian X