Isnin, 31 Disember 2018 | 3:18pm
HANEZ Suraya

Hanez Suraya hamil tiga bulan

KUALA LUMPUR: Tahun 2018 bakal ditinggalkan pelakon Hanez Suraya dengan memori paling manis apabila disahkan hamil anak kedua.

Berkongsi berita gembira itu di Instagram, Hanez, 34, yang memuat naik video ketika melakukan ujian imbasan memaklumkan, dia kini hamil tiga bulan.

“Pada mulanya, saya berhasrat untuk merahsiakan dahulu perkara ini memandangkan ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan.

“Namun, saya terfikir anak adalah rezeki paling bermakna diberikan Allah, jadi saya tunggu masa yang terbaik untuk berterus terang.

“Saya berharap rezeki saya akan terus murah dengan kehadiran anak kedua nanti.

“Walaupun sudah tidak lagi berlakon, saya tetap sibuk mengendalikan perniagaan sebagai sumber rezeki,” katanya.

HANEZ bakal timang anak kedua selepas disahkan hamil tiga bulan. Foto IG Hanez Suraya

Berdoa kandungannya sentiasa sihat dan dipermudahkan, pelakon drama Love You Mr Arrogant itu berkata, sebelum ini, hanya beberapa teman rapat yang mengetahui dirinya hamil.

“Memandangkan susuk tubuh saya kurus, ramai yang mula menyedari perubahan pada diri terutama bahagian perut.

“Apabila usia kandungan memasuki tiga bulan, saya fikir ini masa terbaik untuk saya berkongsi berita gembira ini dengan semua,” katanya.’

Bersyukur tidak mengalami alahan teruk, Hanez berkata, dia masih meneruskan rutin hariannya seperti biasa, termasuk menyertai karnival jualan di pelbagai lokasi.

“Saya pula jika hanya duduk di rumah, cepat lemah dan loya. Jika dilayan, saya akan jadi malas. Jadi, saya lawan perasaan itu,” katanya.

Hanez berkata, sebelum disahkan berbadan dua, dia menyedari beberapa perubahan pada anak sulungnya, Puteri Aleesya, 3.

“Aleesya tiba-tiba mengaku dia anak lelaki, malah mulai renggang sedangkan sebelum ini, kami memang rapat.

“Tidak sangka, itu adalah petanda awal saya hamil lagi,” katanya yang sudah lima tahun tidak berlakon.

Hanez mendirikan rumah tangga dengan Romie Razin Adilha pada Mac 2015.

Berita Harian X