Ahad, 13 Januari 2019 | 5:59pm
SYELLA tidak ralat meninggalkan dunia nyanyian untuk memberikan perhatian kepada rumah tangga. Foto Aziah Azmee

'Siapa yang tahu suami saya, tahulah...'

AMPANG: Penyanyi Datin Seri Syella Kamaruddin, 33, mengakui, rumah tangganya yang dibina sejak lapan tahun lalu sentiasa diselimuti bahagia, meskipun tidak pernah mendedahkan identiti suaminya kepada umum.

Katanya, memadai keluarga dan rakan terdekat mengenali identiti teman hidup yang menjadi tunjang kekuatannya dalam mengukuhkan bidang perniagaan yang diceburi sejak zaman anak dara lagi.

“Bukan mahu berahsia kerana rasanya, ramai yang sudah tahu siapa suami saya. Kerap juga dia menemani saya menghadiri majlis tertentu.

“Pernah disebabkan tidak mendedahkan identiti suami, ada segelintir kawan yang menganggap saya menipu.

“Saya bukan jenis yang suka bercerita hal peribadi, apatah lagi perkara berkaitan rumah tangga. Jadi, saya tidak ambil hati apabila dituduh begitu,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Menangis Dalam Hujan itu berkata, dia tetap Syella yang pernah dikenali dulu, malah tidak kisah bermula dari bawah untuk mengukuhkan perniagaan.

“Sebelum ini, saya tidak kisah berniaga kuih tepi jalan hingga suatu hari, suami minta saya membuka kedai yang lebih selesa.

“Saya tidak minta modal daripada suami untuk memulakan bisnes seperti Keria Cik Syella Gebu Gebas, kedai pakaian dan beberapa perniagaan lain kerana tidak mahu cepat selesa,” katanya.

Tetap ramah seperti awal pembabitannya dalam bidang seni suara, Syella yang ditemui pada majlis pelancaran DTC Motors Sdn Bhd begitu ceria berkongsi cerita selepas lama menyepi.

Sekitar 2011, majlis perkahwinan penyanyi itu mencetuskan kontroversi apabila dia enggan mendedahkan identiti suaminya, selain sanggup bersanding sendirian di pelamin.

Majlis perkahwinan Syella dengan VVIP itu juga dikatakan menelan belanja mencecah RM15 juta, termasuk menerima hadiah sebuah banglo dan kereta mewah.

Sementara itu, Syella mengakui tidak ralat melupakan dunia seni bagi memberi perhatian terhadap keluarga dan perniagaan yang semakin berkembang.

Katanya, walaupun pernah membuat kemunculan semula pada 2015, selepas empat tahun menjadi isteri, hajat itu dibatalkan meskipun, proses rakaman single terbarunya sudah separuh jalan.

“Tiada apa yang saya kesalkan kerana saya tidak cukup tangan mengendalikan bisnes makanan, pakaian dan beberapa perniagaan lain.

“Ketika ini, saya sedang menunggu pembinaan kilang kuih Keria Cik Syella Gebu Gebas untuk memenuhi permintaan hingga ke luar negara yang dijangka dapat disempurnakan kira-kira sebulan lagi.

“Ikutkan sehari saya perlu menyediakan 5,000 biji keria dan pertambahan tempahan, membuatkan saya ambil langkah buka kilang,” katanya.

Ibu kepada Adam, 6, itu juga bersyukur kerana perniagaan keria sejuk beku yang diusahakannya turut menerima tempahan hingga ke United Kingdom.

“Suami tidak menghalang minat menyanyi, cuma dia pesan supaya berpada-pada memandangkan anak kami masih kecil,” katanya.

Berita Harian X