Rabu, 16 Januari 2019 | 12:57pm
PELAKON, Syafiq Kyle, sedia berdepan kecaman netizen apabila menjayakan watak Ustaz Adam yang lebih berani dalam drama Nur 2. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Syafiq sedia dikecam lakon babak panas dalam Nur 2

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafiq Kyle, mendedahkan watak Ustaz Adam dijayakannya dalam Nur 2 lebih berani dan berbeza daripada karakter ditampilkan dalam musim pertama drama rantaian berkenaan.

Katanya, dalam kisah susulan itu, babak panas membabitkan dirinya dengan seorang pelacur akan turut dipaparkan.

Bersedia untuk dikecam netizen gara-gara babak terbabit, Syafiq bagaimanapun percaya, pendirian mereka akan berubah selepas menonton sepenuhnya drama yang memulakan penggambarannya, baru-baru ini.

“Dalam cerita kali ini, ada babak saya bersama pelacur bernama Juita. Ia bukan sekadar babak panas, malah dirakam dalam bentuk yang pelbagai.

“Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tugas yang diberikan. Kalau penonton nak kecam sekalipun, saya sudah bersedia menghadapinya.

“Jika sebelum ini mereka memang mengagumi Ustaz Adam dalam Nur, saya percaya, walaupun bakal ada kontroversi tercetus, kekaguman mereka terhadap lelaki itu akan bertambah lagi selepas menontonnya,” katanya kepada BH Online.

Menerusi kisah susulan itu, pengarahnya, Shahrulezad Mohamedin, mewujudkan karakter baharu, Juita, yang juga seorang pelacur. Watak itu menjadi milik Azar Azmi selepas Nelydia Sensrose memutuskan untuk melepaskannya.

Diminta komennya mengenai kesesuaian Azar menjayakan karakter itu, Syafiq, 27, berkata inilah masanya untuk pelakon terbabit menonjolkan sisi lain dalam lakonan.

“Watak ini sangat mencabar dan apabila Nelydia menolaknya, saya rasa keputusannya sangat tepat. Ia memang tak sesuai untuk dirinya yang baru sahaja pulang dari Tanah Suci.

“Saya percaya, jika Azar berjaya melakonkan watak itu dengan berkesan, orang akan mula membuka mata terhadap bakatnya,” ujarnya positif.

Nur 2 yang diterbitkan oleh syarikat produksi Radious One bakal menemui penonton TV3, pertengahan Mac depan.

Berita Harian X