Selasa, 22 Januari 2019 | 12:53pm
FASHA dan Aidil bakal disatukan pada akhir Mac ini di Perlis. Foto NSTP

Fasha, Aidil nikah akhir Mac

KAPAR: Tinggal dua bulan lagi sebelum menjelang hari bahagia, pelakon Fasha Sandha, 34, mengakui, masih belum membuat persiapan majlis perkahwinannya bersama pelakon, Aidil Aziz, 31.

Pasangan itu bakal disatukan pada akhir Mac ini di kampung halaman Fasha di Perlis, diikuti majlis bertandang sebelah lelaki di Rembau, Negeri Sembilan pada April.

“Saya belum buat apa-apa persiapan lagi kerana terlalu sibuk dengan kerja hingga tidak terfikir mengenai majlis pernikahan.

“Berbeza Aidil yang sudah siap membeli kain untuk dibuat baju, dia juga teruja apabila mula mengemas rumah keluarganya di Rembau sebagai persediaan menjelang hari bahagia kami.

“Mungkin kerana saya pernah melalui alam perkahwinan, membuatkan saya tidak terlalu teruja. Bayangkan disebabkan terlalu sibuk, lokasi untuk majlis nikah dan sanding di Perlis pun masih belum ada.

“Tetapi, mama seboleh mungkin mahu kami dinikahkan di masjid, malah majlis di Perlis juga dilakukan atas permintaannya,” katanya.

Fasha yang akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-35 pada 28 Mac ini berkata, majlis di Perlis diadakan secara sederhana, manakala majlis sebelah lelaki akan membabitkan hampir 5,000 jemputan termasuk peminat.

Sibuk dengan penggambaran drama 14 episod, Patah Sayap Bertongkat Paruh terbitan Zeel Production sehingga 18 Februari ini, Fasha berkata, dia dan Aidil turut mengadakan majlis resepsi di ibu negara untuk meraikan rakan artis serta media.

“Setiap kali ditanya mengenai tarikh pernikahan, saya takut untuk berkongsi kerana belum diputuskan lagi.

“Tetapi, memang kami merancang pada Mac depan. Saya tidak boleh pentingkan diri kerana Aidil belum pernah melalui pengalaman ke jenjang pelamin.

“Kalau ikutkan saya, memadai hanya majlis nikah. Bagaimanapun, saya tak akan berkahwin sorok-sorok atau buat secara tertutup. Saya akan jemput semua kenalan termasuk media ke Perlis nanti,” katanya.

Mengakui berdebar untuk kembali menjadi isteri, Fasha tidak menafikan, selepas tiga tahun berpisah, dia selesa hidup bersama dua anaknya Putri Raysha Jemaima, 4, dan Putra Rayfal Ramli, 5.

Fasha dan Aidil mengikat tali pertunangan pada 18 November lalu selepas berkenalan sejak awal tahun lalu ketika bergandingan dalam sitkom, Mamu Mami Gosip.

Berita Harian X