Jumaat, 25 Januari 2019 | 1:01pm
Ruhainies menafikan dirinya bakal berkahwin dengan jejaka dikenali sebagai ‘Mr E’, tahun ini. Foto Ruhainies dan teman lelakinya dikongsi pelakon itu di Instagram, tidak lama dahulu. Foto IG Ruhainies

'Siapa bawa cerita saya kahwin tahun ini?'

KUALA LUMPUR: Biarpun hubungan dengan jejaka dikenali sebagai ‘Mr E’ direstui keluarga, namun pelakon, Ruhainies belum terfikir mahu mendirikan rumah tangga.

Pelik diberitahu kononnya cerita dia mahu menamatkan zaman bujang, tahun ini, hangat diperkatakan, Ruhainies lebih selesa memberi laluan kepada kakaknya, Risteena Munim untuk disunting orang terlebih dahulu.

“Mana pula saya hendak berkahwin tahun ini... Siapa yang bawa cerita? Kalau boleh, saya tak mahu melangkah bendul.

“Biarlah kakak (Risteena) kahwin dulu. Saya dan dia (Mr E) pun belum merancang soal kahwin. Kami masing-masing mahu kejar kerjaya dahulu,” katanya kepada BH Online.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Elyas mengulas gosip kononnya dia dan ‘Mr E’ akan bernikah di sebuah hotel mewah di ibu negara, tahun ini.

Bercerita soal percutiannya bersama keluarga dan ‘Mr E’ di Eropah selama hampir 20 hari sejak 24 Disember lalu, Ruhainies bersyukur semua yang dirancang berjalan baik.

“Selain London, kami sekeluarga melawat Milan, Itali dan Zurich, Switzerland. Lawatan ke Zurich dibuat pada saat-saat akhir dengan menaiki kereta api laju,” katanya.

Ruhainies berkata, pada mulanya, dia hanya mahu bercuti bersama ibu bapa.

“Kebetulan adik-beradik lain mahu turut serta, jadi tambah meriah. Risteena juga datang kemudian,” katanya yang seronok meluangkan masa bersama ‘Mr E’ dan keluarganya sepanjang bercuti.

Sekembalinya ke Malaysia, Ruhainies melunaskan baki penggambaran drama 3 Gadis Manis musim ketiga di samping Daler Yusof, Julia Farhana Marin dan Puteri Aishah.

Ketika ini, Ruhainies sedang menanti siaran drama Anugerah Cinta Aisyah terbitan Zeel Production yang menggandingkan dirinya dengan Idris Khan.

5787 dibaca
Berita Harian X