Selasa, 29 Januari 2019 | 2:42pm
TIGA lagu ciptaan Hael bersama Ezra Kong bakal bersaing pada kemuncak AJL 33, Ahad ini. Foto Nurul Syazana Rose Razman
TIGA lagu ciptaan Hael bersama Ezra Kong bakal bersaing pada kemuncak AJL 33, Ahad ini. Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Yang penting saya sihat pada malam tu'

KUALA LUMPUR: Mempertaruhkan tiga lagu ciptaannya bersama Ezra Kong, penyanyi dan komposer, Hael Husaini mengakui, debarannya semakin berganda menjelang detik kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, Ahad ini.

Debaran itu semakin memuncak apabila fokus peminat turut tertumpu kepada duo ini untuk mengulangi pencapaian cemerlang mereka pada kemuncak AJL 32, tahun lalu apabila Jampi dinobatkan sebagai juara.

Justeru, timbul persoalan, mampukah karya sandaran iaitu Hajat, Haram (nyanyian Hael bersama Dayang Nurfaizah) dan Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor) mampu mencipta keajaiban pada malam itu?

Enggan terlalu memikirkan harapan ramai, Hael berkata, apa yang penting ketika ini adalah memastikan kesihatannya berada pada tahap terbaik.

“Itu paling penting, apatah lagi saya bakal beraksi membawakan dua lagu iaitu Haram dan Hajat. Persiapan rapi sudah dilakukan untuk memastikan setiap ruang kosong diisi kerana mahu tampil lebih kemas,” katanya.

Ditanya mengenai konsep persembahannya pada malam itu, Hael berkata, dia bertuah kerana mendapat bantuan pereka tari terkenal, Hanafi Rosdi.

“Sama ada saya akan menampilkan model untuk menyerikan persembahan itu atau sebaliknya, sama-sama kita nantikan. Biarlah ia menjadi kejutan,” katanya.

Dalam debaran, Hael turut bersyukur apabila lagu ciptaannya bersama Ezra seperti Anta Permana yang dinyanyikan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Temberang (Ayda Jebat) dan terbaru, Vroom Vroom (Nabila Razali) serta Bila Entah (Aisyah Aziz) mendapat sambutan positif peminat.

“Kebetulan, lagu ini dilancarkan hampir serentak, mungkin itu yang membuatkan ramai mengandaikan kami seolah-olah tidak berhenti bekerja.

“Kami tidak membiarkan diri dalam tekanan ketika menghasilkan lagu. Kami juga sanggup memberikan masa kerana dalam kerja kreatif, kita tidak boleh memaksa diri.

“Temberang contohnya, sudah dihasilkan sejak dua tahun lalu. Kami bertuah kerana strategi pemasaran setiap penyanyi turut membantu memuncakkan lagi populariti lagu,” katanya.

Berita Harian X