Sabtu, 9 Februari 2019 | 9:00am
PU Hilmi dan isteri bersama ibu serta bapanya pada hari perkahwinan mereka. - Foto ihsan PU Hilmi

Bapa bebas kanser otak satu keajaiban - PU Hilmi

KUALA LUMPUR: Peserta Pencetus Ummah (PU) musim kedua, Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil, menyatakan keajaiban berlaku apabila bapanya yang menghidap kanser otak tahap tiga sejak awal Februari kini disahkan bebas daripada penyakit terbabit.

Menurutnya, berita gembira itu diperoleh selepas bapanya, Mohamad Fadzil Husin, 52, menjalani pembedahan di sebuah hospital di Sungai Buloh, semalam.

“Abah dimasukkan ke dewan pembedahan pada jam 7 pagi, semalam. Doktor memaklumkan, pembedahan akan mengambil masa lima hingga enam jam. Malah, pihak hospital juga tidak memberikan jaminan terhadap keadaan abah kerana ia pembedahan besar dan berisiko tinggi.

“Bagaimanapun, kira-kira lima jam kemudian, saya dan adik-beradik mendapat panggilan daripada doktor untuk ke dewan pembedahan. Ketika itu hanya Tuhan yang tahu perasaan dalam hati. Namun setibanya di sana, doktor memberitahu, keajaiban berlaku dengan kuasa Yang Maha Esa.

“Selepas tempurung kepalanya dibuka, mereka hanya nampak nanah dan bukan sel kanser (ketumbuhan). Doktor maklumkan, situasi sebegini jarang berlaku kerana selepas beberapa kali pemeriksaan dibuat ke atas abah, memang laporan menunjukkan ada ketumbuhan serta perlu menjalani pembedahan dengan segera,” katanya.


BAPA PU Hilmi menerima rawatan di sebuah hospital di Sungai Buloh. - Foto ihsan PU Hilmi

Bersama berita menggembirakan itu juga, PU Hilmi memaklumkan, pungutan derma yang dianjurkan rakan seperjuangan bagi membantu rawatan bapanya ditutup serta merta.

“Hasil sumbangan yang kami peroleh masih ada bersama saya. Kami bercadang untuk menyumbangkan wang berkenaan kepada mana-mana pihak yang lebih memerlukannya, sama ada untuk menampung kos pembedahan, perubatan dan sebagainya.

“Kalau ada pihak mengenali mereka yang memerlukan bantuan, boleh hubungi saya di Instagram @azharhilm1_,” katanya.

1679 dibaca
Berita Harian X