Isnin, 11 Februari 2019 | 12:23pm
Gambar daripada rakaman video Lana bersama anak keduanya, Billy yang dikongsi pelakon itu pantas menarik perhatian netizen. Billy dijadual menjalani pembedahan pada injap aorta di IJN, hari ini. - Ihsan IG Lana Nordin

Doakan Billy - Lana Nordin

KUALA LUMPUR: Pelakon Lana Nodin memohon orang ramai mendoakan pembedahan jantung anak keduanya, William Daud McKienzie di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini, lancar.

Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nordin, 39, memberitahu, bayinya yang baru berusia tiga bulan, dikesan mengalami masalah injap jantung atau aortic stenosis.

“Syafakallah... Anakku, Billy. Insya-Allah mommy, daddy, kakak Gia dan semua orang mendoakan kamu.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk anak saya,” katanya yang memuat naik status di Instagram.

Menerusi entri itu, Lana berkongsi tiga video yang memaparkan dirinya bersama William atau dipanggil Billy.

Adegan menunjukkan Lana menitiskan air mata membuatkan ramai pengikut pelakon itu sebak. Malah, rakan artis juga menyuntik kata-kata semangat supaya Lana dan suaminya, Daud McKienzie, tabah.

Difahamkan Billy perlu menjalani pembedahan membabitkan injap aorta yang sempit agar seiring perkembangan usia, bagi mengelak jantung bengkak.

Sebelum ini, Lana pernah menjelaskan, dia dan suami tidak menagih bantuan atau derma untuk Billy.

Sebaliknya, Lana menyarankan sumbangan disalurkan kepada tabung bantuan IJN untuk keperluan bayi dan kanak-kanak pesakit jantung.

Lana mendirikan rumah tangga bersama David McKienzie pada Mac 2015.

Selain William, pasangan itu dikurniakan Gia Quinn McKienzie yang berusia tiga tahun.

Berita Harian X