Rabu, 13 Februari 2019 | 9:00am
Persembahan Kaer pada kemuncak AJL 33 lalu menerima pelbagai komen negatif peminat. - Foto Mahzir Mat Isa
Persembahan Kaer pada kemuncak AJL 33 lalu menerima pelbagai komen negatif peminat. - Foto Mahzir Mat Isa

Ada peminat mahu saya berhenti menyanyi - Kaer Azami

KUALA LUMPUR: Penyanyi Kaer Azami menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Amylea Azizan atau berkecil hati apabila tidak meneruskan projek lagu duet terbaru.

Keputusan itu, sebaliknya diambil kerana Kaer atau nama sebenarnya, Wan Mohammad Khair Wan Azami ingin berehat seketika dan memberikan perhatian terhadap perancangan peribadi.

Kaer dan Amylea sebelum ini, pernah mencetus fenomena menerusi lagu Tak Pernah Hilang yang turut menjadi lagu latar drama rantaian popular, Nur yang disiarkan pada Ramadan lalu.

“Tidak timbul isu kami sedang bermasalah kerana keputusan itu sudah saya maklumkan lebih awal kepada Amylea.

“Saya mahu berehat seketika kerana ingin memberi fokus kepada kerjaya solo, selain mengukuhkan jenama fesyen dan hiasan dalam.

“Pada masa sama, saya juga mahu mendalami ilmu berkaitan vokal dan pengaturcaraan muzik. Jangan risau, kami akan kembali bekerjasama. Insya-Allah, berkemungkinan akhir tahun ini,” katanya.

Kaer berkata, keputusan tidak merakamkan Tetap Kamu yang juga kesinambungan lagu Tak Pernah Hilang diambil bukan kerana kecewa menerima pelbagai kecaman selepas gagal memberikan persembahan terbaik pada kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 lalu.

“Saya tahu ramai yang mempersenda persembahan saya, malah memberikan pelbagai komen mengarut, termasuk mengaitkan imej berkepala botak sebagai punca lagu itu tewas.

“Ada juga yang meminta supaya saya berhenti menyanyi, namun saya tidak endahkan. Saya langsung tidak buka mesej yang diterima menerusi laman sosial kerana tidak mahu komen seperti itu mempengaruhi diri,” katanya.

Kaer mengakui, Tak Pernah Hilang memberikan impak besar dalam kerjaya nyanyiannya dan berterima kasih kepada komposer lagu itu, Farouk Roman dan Amylea yang mempercayai bakatnya.

Ketiadaan Kaer membuatkan Amyle memilih bakat yang dicungkil menerusi program Mentor 7, Megat Adzuan sebagai rakan duet baharu. Tetap Kamu turut terpilih sebagai lagu runut bunyi drama, Nur 2.

Berita Harian X