Isnin, 18 Februari 2019 | 8:03am
BARISAN baharu penyampai program Geng Pagi Hot iaitu Shuk, Shuib dan Fizie pasti ‘menghangatkan’ konti stesen radio Hot FM, mulai hari ini. - Foto ihsan Ripple

Shuib kasi 'panas' konti Hot FM

KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib Sepahtu mula mengendalikan program Geng Pagi Hot (GPH) di stesen radio, Hot FM, bersama rakan setugas, Fizie dan Shuk Sahar, hari ini.

Shuib, 34, mengisi kekosongan ditinggalkan Ajak Shiro yang sebelum ini mengumumkan pengundurannya sebagai penyampai stesen radio terbabit.

Syarikat pengurusan Ripple mengumumkan penyertaan Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad dalam stesen radio itu, berganding dengan Fizie dan Shuk.

GPH disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi.

Ketua Audiens Melayu, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, kemasukan Shuib yang berpengalaman dalam industri hiburan termasuk penyiaran radio akan merancakkan lagi segmen pagi.

“GPH akan menampilkan pengisian yang lebih segar berdasarkan kisah menarik yang berlaku dalam kalangan pendengar.

“Hot FM masih panjang evolusinya dan banyak idea yang ingin kami hidangkan kepada pendengar.

“Langkah ini diambil untuk kami sentiasa tampil dengan pembaharuan dan mengukuhkan lagi jenama Hot FM daripada segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini.

“Perubahan dilakukan termasuk kemasukan Shuib adalah berdasarkan kekuatan setiap penyampai yang kami percaya, mampu menghebahkan kandungan ditetapkan,” katanya kepada BH Online.

Selain itu, Hot FM turut mengumumkan pertukaran penyampai segmen seperti Muzik Hot yang akan bersiaran dari jam 10 pagi hingga 4 petang di bawah kelolaan El.

Manakala, Deen dan Haziq akan berganding dalam segmen Jam Hot dari jam 4 petang hingga 8 malam. Zetty pula akan ke udara dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam melalui segmen Mega Hot.

Nik Nor Azura berkata, rombakan itu dibuat sesuai dengan usia stesen radio itu yang memasuki tahun ke-13.

“GPH masih mengekalkan segmen yang mendapat perhatian tinggi dan menjadi ikutan pendengar. Ini adalah segmen Sketcah GPH, English GPH bersama Teacher Fati, Story Mory Jihan dan Kak Elo.

“Selain itu, Hot FM merancang beberapa kempen menarik untuk disertai pendengar. Ini termasuk Hot FM 13 Lit yang sudah bermula pada 13 Februari lalu selain Hot Selebriti yang menawarkan wang tunai RM10,000 atau wang terkumpul bermula hari ini.

“Diharap perubahan dan pengenalan kepada barisan penyampai Hot FM ini dapat menjadikan Hot FM pilihan pendengar masa kini,” katanya.

Berita Harian X